Wednesday, June 1, 2022

ALASAN TIADA BEKALAN AYAM TIDAK MASUK AKAL: PPIM - SINAR HARIAN - 22/05/2022

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan tindakan beberapa pihak yang mendakwa tiada bekalan ayam di ladang ternakan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna di Malaysia sering menjadi alat oleh mereka untuk menaikkan harga atau mendapatkan keuntungan lebih dalam jual beli.

Justeru beliau mengingatkan kepada pihak tidak bertanggungjawab agar tidak mencetuskan panik dalam kalangan pengguna.

"Dalam isu ketiadaan ayam di pasar terbuka, peniaga runcit boleh dan harus membuat laporan kepada pihak berkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) atau membawa perkara itu ke mahkamah jika dirasakan perlu.

"Pengusaha ladang ayam mempunyai kontrak untuk membekalkan ayam kepada pembekal atau pemborong.

"Apa guna mereka bela ayam jika tiada pembeli, mereka akan berusaha mendapatkan kontrak untuk membekalkan ayam kepada pembekal atau pemborong secara pukal sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan atau setahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, Nadzim menegaskan kerajaan tidak harus tunduk kepada tuntutan pihak yang tamak dan sering memperbodohkan pengguna untuk kepentingan diri.

"Jangan bebankan pengguna dengan masalah yang tidak masuk akal. Pengguna harus bijak dalam menilai situasi semasa dan kembali mengawal keadaan pasaran negara.

"Kalau dah ladang tu tak boleh membekalkan ayam, maka kita sebagai pengguna boleh pilih untuk membeli produk dari pihak lain yang lebih bertanggungjawab dan tidak memperbodohkan pengguna," katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

ALASAN TIADA BEKALAN AYAM TIDAK MASUK AKAL: PPIM

https://www.sinarharian.com.my/article/203531/BERITA/Nasional/Alasan-tiada-bekalan-ayam-tidak-masuk-akal-PPIM

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL