Saturday, June 4, 2022

ADA AGENSI KERAJAAN KHIANAT NEGARA, HALALKAN LESEN NELAYAN ASING - GETARAN - 29/05/2022

 

KUANTAN - Malaysia bukan sahaja ‘terbeban’ dengan kewujudan kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ikan di Semenanjung sehingga bekalan hasil laut itu semakin berkurangan.

Malah, kerakusan nelayan asing yang semakin berani menceroboh perairan negara untuk mengaut ikan juga menyebabkan bekalannya semakin ‘ghaib’, di samping memberi implikasi besar terhadap nelayan tempatan.

Lebih menakutkan, hasil laut negara didakwa mungkin pupus dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang sekiranya kegiatan terbabit gagal dikawal.

Bagaimanapun, isu terbabit dilihat tidak akan menemui noktah kerana menerusi maklumat diperoleh Getaran, wujud agensi kerajaan yang sanggup menjadi orang tengah bagi membolehkan permohonan nelayan asing, khususnya warganegara Vietnam untuk mendapat lesen menangkap ikan di Malaysia dipermudahkan.

Mendedahkan perkara itu, seorang nelayan yang mahu dikenali sebagai Sham, 51, berkata, masalah tersebut bukanlah isu baharu, sehingga nelayan tempatan seperti dianaktirikan oleh agensi kerajaan dan pihak berkuasa yang terbabit dalam membanteras kegiatan pencerobohan haram perairan negara.

“Kita pada mulanya pelik walaupun ada penguatkuasaan dan tangkapan dari Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), nelayan asing seolah-olah kebal dari perundangan. Bila kita ambil tindakan sendiri menyiasat, rupanya nelayan asing ini ada lesen menangkap ikan dari Malaysia.

“Bila kita teliti, sebenarnya ada agensi kerajaan yang menjadi orang tengah atau menjadi agen bagi memudahkan nelayan asing, terutama dari Vietnam mendapat lesen tersebut. Bagaimana perkara ini boleh terjadi?,” katanya kepada Getaran.

Sham berkata, tindakan ‘sewenang-wenangnya’ seperti itu daripada agensi kerajaan yang berperanan sebagai peneraju bagi membangunkan industri perikanan Malaysia, menyebabkan warga luar dengan mudah memalsukan lesen agar dapat digunakan nelayan asing lain di negara mereka.

“Saya juga pelik bagaimana agensi yang meluluskan lesen kepada nelayan boleh sesuka hati beri kepada warga asing.

“Apa menghairankan, bot siput babi itu memang bot nelayan Vietnam, tapi memang kita dapati ada antara mereka dapat lesen itu secara sah,” katanya.

Jika tidak dibendung, tegasnya, nelayan tempatan khususnya yang menjalankan penangkapan di persisiran pantai pasti akan terjejas.

“Kalau ini berlaku dan sumber laut nanti dah habis disebabkan ketamakan serta salah guna kuasa agensi kerajaan, jangan pula kami disalahkan rakyat sebab terlalu banyak kaut hasil laut,” katanya.

Lantaran itu, beliau mengharapkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memandang serius isu tersebut dengan memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pegawai kerajaan terlibat agar jenayah terbabit ditangani dan tidak berulang.

“Sekarang ini mereka dah mudah sangat nak palsukan lesen seperti yang nelayan tempatan ada. Saya mohon kalau dah nampak itu bot siput babi.

Jangan bagi lesen. Kita memang risau hasil ikan sudah sangat kurang.

“Kerajaan perlu wujudkan teknologi atau cipta lesen yang mempunyai ciri keselamatan lebih ketat, seperti cukai jalan kereta. Jangan lupa, agensi kerajaan yang terlibat dalam memberi lesen perlu disiasat kerajaan, khususnya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Terdahulu, Getaran melaporkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan, wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ikan di Semenanjung, sehingga bekalan hasil laut itu semakin berkurangan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, penglibatan kartel yang memonopoli hasil tangkapan sudah terlalu lama berlarutan dan berisiko memberi implikasi serius kepada rantaian makanan rakyat di negara ini.

Menurut beliau, isu kekurangan pendaratan ikan yang mula tercetus sejak tahun 2015, membuktikan kerajaan hanya memandang ‘sebelah mata’ permasalahan tersebut dan gagal dalam mengurus tadbir, sehingga mencetuskan harga tidak terkawal bahan mentah itu.

Sementara itu, bagi nelayan yang dikenali sebagai Yaakob, 41, pencerobohan nelayan asing dilihat seperti tidak terkawal berikutan mereka tidak gentar menghampiri pesisiran pantai Malaysia untuk menjarah segala hasil laut negara.

Mengakui sememangnya ada penguatkuasaan melakukan rondaan, dia berkata, namun nelayan asing berkenaan seolah-olah kebal apabila sewenang-wenangnya berani memasuki sempadan perairan negara, sehingga kurang daripada 10 batu nautika daripada pesisir pantai.

Jelasnya, pencerobohan nelayan asing itu mendatangkan pelbagai masalah kepada nelayan tempatan, malah peralatan menangkap ikan dipasang nelayan pantai, seperti bubu dan pukat rosak kerana dimusnahkan mereka hingga sukar mencari rezeki untuk keluarga.

Semakin membimbangkan, Yaakob menegaskan, nelayan asing itu sanggup menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang di Malaysia, seperti pukat naga, pukat Apollo dan pukat rawa yang mampu menyebabkan kemusnahan habitat hidupan marin.

“Pukat ini dilarang di Malaysia kerana ia mampu menangkap ikan kecil dan mampu membinasakan terumbu karang yang menjadi tempat pembiakan ikan. Kalau masalah ini berlarutan, kita akan kehabisan sumber makanan laut.

“Mereka tak kisah, janji dapat hasil tetapi yang rugi adalah nelayan tempatan. Mana kami nak cari rezeki kalau negara sudah kehabisan hasil laut disebabkan perbuatan jenayah nelayan asing. Ikan sekarang ini pun ada yang sudah habis.

“Macam ikan bilis, udang geragau susah sangat dah nak cari. Ini sangat merisaukan kami. “Kalau masih dipandang sebelah mata, ibarat nyawa kami diambang kemusnahan,” luahnya yang menjalankan pekerjaan itu sejak 15 tahun.


Artikel oleh: Getaran

ADA AGENSI KERAJAAN KHIANAT NEGARA, HALALKAN LESEN NELAYAN ASING

https://www.getaran.my/artikel/semasa/24416/ada-agensi-kerajaan-khianat-negara-halalkan-lesen-nelayan-asing

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL