Friday, June 24, 2022

APLIKASI 'YAKIN' ONE STOP CENTRE ADUAN PENGGUNA - UTV MEDIA - 16/06/2022

 

Kuala Lumpur, 16 Jun 2022 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah berkolaborasi dengan Crescent Digital Sdn Bhd (Crescent Digital) untuk membangunkan dan mengendalikan aplikasi mudah alih rasmi PPIM yang dikenali sebagai YAKIN. Aplikasi tersebut telah dilancarkan hari ini oleh Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Berasal dari perkataan Arab یقین‎ yang antara lain bermaksud ‘pasti, percaya dan tidak ragu-ragu’, nama YAKIN dipilih sebagai tanda kesungguhan PPIM bukan sahaja dalam usaha memperkasa pengguna dan usahawan Muslim era digital tetapi juga sebagai pemangkin dan pemacu inovasi tempatan bernilai tinggi justeru menyumbang kepada ekonomi digital Islam di Malaysia.

Menerusi aplikasi YAKIN yang sudahpun sedia untuk dimuat turun secara percuma, pengguna-pengguna boleh menjadikan aplikasi YAKIN sebagai ‘one stop centre’ untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh PPIM seperti perkhidmatan aduan hal ehwal pengguna, bantuan mangsa ahlong atau ceti haram, sumbangan derma kepada saluran yang sahih dan berdaftar; dan sebagai informasi paling terkini dari PPIM dengan amat mudah secara dalam talian dari telefon pintar mereka.

Selari dengan slogan Aplikasi Digital Gaya Hidup Muslim, aplikasi YAKIN yang dikuasakan oleh Crescent Digital tanpa sebarang kos juga dibina untuk membantu pengguna Islam menerapkan gaya hidup Muslim dalam kehidupan seharian dengan mudah. Diantara fitur atau ciri-ciri yang disediakan di dalam Modul Ibadah aplikasi YAKIN ini adalah waktu solat, kiblat, doa harian, tasbih dan pelbagai lagi. Antara yang menarik, pengguna aplikasi YAKIN dapat memilih laungan azan oleh artis terkenal tanahair, Black Hanifah, untuk tetapan notifikasi waktu solat yang boleh didapati secara eksklusif melalui aplikasi tersebut.

Di dalam ucapannya, Dato’ Sri Dr. Adham Baba mengucapkan tahniah kepada PPIM dan Crescent Digital di atas pelancaran aplikasi YAKIN. Jelas beliau lagi, “Saya amat mengalu-alukan inovasi ke arah digital dari PPIM dan Crescent Digital ini. Inisiatif untuk membina aplikasi ini di dalam Bahasa Malaysia adalah langkah yang sangat tepat demi memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. PPIM juga mempunyai jumlah pengikut media sosial yang besar di kalangan masyarakat Muslim di Malaysia iaitu lebih daripada 1.5 juta orang merentasi 5 platform media sosial.

Justeru itu, aplikasi YAKIN berkemampuan untuk menjadi aplikasi gaya hidup Muslim tempatan yang utama dan paling komprehensif bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini.

Menurut Presiden dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan pula, “Aplikasi ini bukan sahaja mensasarkan pengguna, malah ia juga dibangunkan dengan matlamat untuk membantu perniagaan-perniagaan yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka secara khusus dan efisien kepada kumpulan pengguna Islam dan bukan Islam. Perlu juga ditegaskan bahawa kempen-kempen derma yang terdapat di dalam aplikasi YAKIN telah disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh pihak kami.

Bagi pihak PPIM, kami yakin bahawa aplikasi ini dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia bersesuaian dengan misi PPIM sendiri iaitu melaksanakan tuntutan fardhu kifayah yang membabitkan kepentingan pengguna dan perniagaan Islam melalui tindakan proaktif dan berstrategi.”
Kolaborasi PPIM bersama Crescent Digital yang menyediakan khidmat transformasi digital dengan tumpuan khusus pada ekonomi digital Islam adalah amat tepat.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Puan Nina Alyssa, “Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan PPIM dalam inisiatif ini. Selain daripada ciri-ciri yang telah disebutkan, kami juga sedang merancang untuk memperkenalkan pelbagai lagi fitur di dalam aplikasi YAKIN merangkumi direktori perniagaan Islam, direktori scammers, tinjauan atau survey, e-Dagang dan lain-lain di fasa akan datang.

Saya percaya kolaborasi ini juga dapat membina sebuah ekosistem inovasi yang hebat bagi membangunkan produk tempatan serta menjadi pemangkin kepada ekonomi digital Islam bukan sahaja di Malaysia malah di rantau Asia Tenggara.

Saya juga ingin memberikan penghargaan kepada rakan-rakan kerjasama kami yang turut memberi sokongan terhadap inisiatif ini seperti Mastercard, Jakel, Syed Food, Mobiliti One, Sayajual.io, Staedtler dan Lilit”.

Aplikasi YAKIN boleh didapati dan dimuat turun secara percuma di Google Play Store, App Store dan Huawei AppGallery untuk semua telefon pintar Android dan iPhone.

Ikuti aplikasi YAKIN di Instagram dan Facebook dengan nama @YAKINAPP. Untuk maklumat lanjut berkenaan PPIM, sila layari www.ppim.org.my. Untuk maklumat lanjut berkenaan Crescent Digital, sila layari www.crescentdigital.com.my. Ikuti PPIM di lnstagram dengan nama @ppim.official dan Facebook dengan nama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).


Artikel oleh: UTV Media

APLIKASI 'YAKIN' ONE STOP CENTRE ADUAN PENGGUNA

https://utvmediamalaysia.com/aplikasi-yakin-one-stop-centre-aduan-pengguna/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL