Thursday, June 2, 2022

PPIM LANCAR SURVEI, FAHAMI PANDANGAN RAKYAT TERHADAP ISU SEMASA - SINAR HARIAN - 24/05/2022

 

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bakal lancarkan survei keberkesanan agensi kerajaan secara dalam talian bagi mendapatkan pandangan orang awam terhadap beberapa perkara atau isu semasa.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, survei tersebut dijalankan adalah sebagai hasrat untuk membela nasib pengguna dan rakyat.

"Kita dah bincang dan tiba masanya untuk kita tengok input survei daripada rakyat dan juga industri berkaitan keadaan yang kita hadapi hari ini di mana kita tengok banyak perkara yang tidak menjadi.

"Banyak perkara yang dilakukan tidak mengikut petunjuk prestasi utama (KPI), kalau ikut KPI pun tetapi tidak menjadi, (mereka) diam saja," katanya ketika sidang media di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, survei dalam kalangan masyarakat itu juga bertujuan untuk meninjau apa sebenarnya pandangan dan keresahan rakyat yang perlu dibongkarkan.

"Baru-baru ini, isu ayam, daging dan kes scam (sindiket penipuan dalam talian), macam-macam keadaan yang kita tengok perlu mendapat maklumat melalui survei dalam talian.

"Jadi kita akan buat survei ini untuk tahu kepuasan hati dan komen rakyat yang dibawa ke hadapan biar menteri tengok dan buat sesuatu," ujarnya.

Beliau turut berharap tinjauan itu akan dijadikan sebagai bahan rujukan pada masa hadapan.

"Insya-ALLAH dengan responden yang kita dapat, ia boleh mengubah keadaan kita.

"Kita perlu dedahkan bukan untuk tujuan negatif, tapi positif, kita buat sesuatu perubahan demi masyarakat kita," jelasnya.

Untuk makluman, survei itu turut dijalankan susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung larangan merokok dan vape untuk generasi akan datang serta menghalang penjualan produk tersebut kepada individu yang lahir selepas 2005.

Ia juga bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai tabiat-tabiat negatif lain yang patut dikenakan larangan sama.

Survei itu akan dijalankan menerusi portal www.ppimonlinepoll.com yang bakal dibuka untuk orang ramai dalam masa terdekat.


Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM LANCAR SURVEI, FAHAMI PANDANGAN RAKYAT TERHADAP ISU SEMASA

https://www.sinarharian.com.my/article/203782/BERITA/Semasa/PPIM-lancar-survei-fahami-pandangan-rakyat-terhadap-isu-semasa

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL