KUALA LUMPUR – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu mengatasi masalah perpecahan kaum di negara ini.
Menurut beliau, penyatuan kaum itu boleh dilakukan melalui industri perfileman seperti filem Mat Kilau yang telah membangkitkan semangat cinta kepada negara.
“Tidak kira apa kaum, bangsa atau agama di negara ini, seluruh rakyat Malaysia boleh memgambil iktibar daripada cerita yang diketengahkan di dalam filem Mat Kilau.
“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bangkit bersama dan bersuara menentang segala jenis cubaan yang mencetuskan perpecahan di kalangan kaum seluruh rakyat Malaysia.
“Buang sifat dendam dan dengki sesama sendiri kerana sifat itu hanya akan merugikan kita semua,” katanya di sini, malam tadi.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bersama Kingsz Motosikal Group sempena Program Tayangan Filem Mat Kilau di Sunway Putra Mall, malam tadi. Kredit foto: Farid Jananuddin.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Tayangan Perdana filem Mat Kilau anjuran PPIM bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pengamal media yang diadakan di Sunway Putra Mall malam tadi.
Dalam pada itu, beliau juga memuji Pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof dan menyifatkan perlu lebih ramai lagi anak muda untuk menghasilkan filem sedemikian.
“Kita perlu lebih ramai anak muda seperti Syamsul untuk sama-sama menaikkan industri perfileman yang menjadi antara aset dan platform menaikkan semangat patriotik, cintakan negara dan bangsa,” ujarnya lagi.
Selain itu, beliau juga menggalakkan kerajaan agar membantu pembikinan filem yang dapat membina semangat ke arah perpaduan dan patriostisme.
Artikel oleh: Malakat Tribune
PPIM SERU SEMUA KAUM DI MALAYSIA BERSATU BUANG SIFAT DENDAM, DENGKI
No comments:
Post a Comment