Tuesday, July 12, 2022

HINA ISLAM: BERTENANG, TAK PERLU BERI REAKSI MELAMPAU - UTUSAN MALAYSIA - 11/07/2022

 

PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini dinasihat supaya bertenang tanpa perlu memberi reaksi melampau terhadap tindakan provokasi berkaitan penghinaan terhadap agama Islam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, masyarakat diminta tidak menghiraukan perkara yang disifatkan kecil, yang sentiasa berlaku sepanjang masa.

Katanya, ini kerana banyak lagi perkara besar yang berkaitan dengan penghinaan Islam dan merancang untuk menghancurkan Islam.

“Sekarang ini, provokasi itu sama ada orang tidak waras atau secara terancang oleh pihak tertentu untuk memprovokasi kita, jadi, kalau kita beri reaksi melampau dan menggila, maka, orang tahu itu standard kita.

“Dalam peristiwa Israk Mikraj, ada satu suara memanggil Nabi Muhammad dan Nabi mahu memberi reaksi kepada suara itu, tetapi Jibril beritahu jangan sebab takut perjalanan itu jadi lambat serta tidak mencapai sasaran.

“Jadi, benda-benda itu sangat kecil dalam masyarakat kita, biarlah berlalu begitu saja, sebaliknya kita perlu beri perhatian kepada umat kita. Sekarang ini, umat kita terlampau berpecah belah ditambah masalah sesama parti politik, maka tumpu itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, tular dalam media sosial tentang seorang wanita yang membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton di sebuah kelab komedi selepas memperkenalkan diri sebagai seorang penganut Islam dan kemudiannya menghafal ayat al-Quran.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perbuatan wanita tersebut merupakan perbuatan terkutuk dan jelas menggambarkan niat jahat individu berkenaan untuk mencari jalan agar umat Islam dan bukan Islam bertelagah.

Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas perlu diambil kepada wanita berkenaan bukan sahaja dari segi jenayah, malah, mengikut peruntukan syarak kerana berpotensi mengganggu keharmonian kaum dan agama.

“Yang pertamanya, entah betul atau tidak wanita itu menghafal al-Quran dan kedua, dia tiada sebab munasabah untuk tiba-tiba mencari pasal dan menyakitkan hati umat Islam dengan kenyataan menghina agama.

“Kita bimbang tindakan dia menjadi ikutan pihak-pihak lain untuk menghina Islam,” katanya di sini semalam. 


Artikel oleh: Utusan Malaysia

HINA ISLAM: BERTENANG, TAK PERLU BERI REAKSI MELAMPAU

https://www.utusan.com.my/berita/2022/07/hina-islam-bertenang-tak-perlu-beri-reaksi-melampau/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL