Thursday, July 21, 2022

RAMAI BEBAS BANKRAP OKTOBER INI? - UTUSAN MALAYSIA - 21/07/2022

 

MUKADIMAH

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan kebimbangan dengan menyatakan Akta Insolvensi 1967 akan diperhalusi semula bagi mengelak lebih ramai individu diisytiharkan bankrap pada masa akan datang. Ini selepas Laporan Pantauan Ekonomi oleh Bank Dunia mendedahkan sejumlah 60 peratus individu muflis di negara ini terdiri dalam kalangan belia.

Pun begitu, difahamkan masih ramai individu bankrap yang tidak mengetahui mengenai Pelepasan Automatik Kebankrapan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967 (Pindaan 2017) yang berkuat kuasa 6 Oktober 2017. Mereka yang terlibat boleh memohon bebas bankrap secara automatik pada Oktober ini (seperti dimaklumkan dalam laman sesawang Jabatan Insolvensi.

Atas keprihatinan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melalui Ketua Aktivisnya, DATUK NADZIM JOHAN mengutarakan perkara tersebut.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan AQILAH MIOR KAMARULBAID di pejabatnya di ibu negara kelmarin, bukan niatnya untuk menyalahkan mana-mana jabatan kerajaan berhubung perkara berkenaan yang tidak diketahui umum. Sebaliknya, bertujuan membantu menambah baik sistem perkhidmatan awam sedia ada.

UTUSAN: Benarkah mereka yang dijatuhi hukuman bankrap pada Oktober 2017 kini boleh memohon untuk bebas secara automatik, Oktober ini?

NADZIM: Jika dilihat segala maklumat di laman sesawang Jabatan Insolvensi mengikut Akta Insolvensi 1967 (Pindaan 2017), jawapannya adalah ya. Persoalannya, adakah mereka yang akan bebas automatik ini perlu memohon kepada Jabatan Insolvensi atau pihak jabatan yang akan menghubungi golongan bankrap ini untuk dibebaskan secara automatik?

Malah dinyatakan individu yang bankrap boleh memohon pelepasan pada tiga tahun pertama dari tarikh pemfailan Penyata Hal Ehwal (PHE) tetapi tertakluk kepada bantahan pemiutang.

Selepas lima tahun, mereka akan bebas secara automatik berdasarkan syarat-syarat tertentu yang perlu dijelaskan oleh Jabatan Insolvensi. Hal ini ditulis dengan jelas dalam Seksyen 33C akta berkenaan.

Jika perkara ini dilaksanakan, ia merupakan berita baik untuk dunia kebankrapan. Lebih ramai yang bankrap akan bebas.

Berapa jumlah kes terlibat?
Menurut statistik yang ditunjukkan di laman sesawang itu, jumlah Sijil Pelepasan melalui Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi (KPI) di bawah Seksyen 33A dari 2018 hingga Mei 2022 adalah sebanyak 82,115 kes.

Namun begitu, bilangan yang bebas dan dibatalkan termasuk dilepaskan di bawah Sijil Pelepasan KPI masih belum mencukupi. Ini kerana terdapat Pelepasan Automatik yang dibenarkan dalam akta sama menurut Seksyen 33C. Namun begitu, Pelepasan Automatik ini hanya akan berkuat kuasa pada 6 Oktober 2022 selaras dengan pindaan yang berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017. Yang mana tarikh 6 Oktober 2022 merupakan tempoh maksimum lima tahun seseorang itu menjadi bankrap dan perlu dilepaskan secara automatik.

Ramai yang tidak tahu perkara ini kerana ia tidak diuar-uarkan. Menjadi tugas Jabatan Insolvensi untuk menghebahkan perkara ini kerana hanya tinggal lebih kurang tiga bulan lagi untuk individu terlibat bebas daripada status bankrap.

Apa syarat-syarat untuk seseorang bebas daripada bankrap?
Setakat yang kita maklum, biasanya mesti mengisi borang PHE dan ia perlu dihantar ke Jabatan Insolvensi. Dalam borang itu tercatat segala hutang, aset mahupun liabiti. Bila serah ke Jabatan Insolvensi, maknanya kes mereka akan ditadbir oleh jabatan itu. Bermula dari tarikh kes itu ditadbir, maka bermulalah kiraan sehingga tempoh maksimum lima tahun mereka hidup dalam dunia bankrap.

Selain itu, kemungkinan Jabatan Insolvensi akan meminta bayaran ansuran penuh untuk tempoh lima tahun. Sebagai contoh, seorang bankrap perlu membayar RM100 sebulan kepada Jabatan Insolvensi. Ini bermakna mereka perlu membayar sebanyak RM6,000 untuk tempoh lima tahun tersebut waima hutang RM3 juta sekalipun. RM100 ini adalah nilai minimum bayaran ansuran bulanan kepada Jabatan Insolvensi tetapi ia tertakluk kepada pendapatan bulanan seseorang bankrap.

Namun, kita masih tidak tahu syarat sebenar sebab tidak tertulis dengan jelas. Dalam hujahan soal jawab mereka pun hanya tertulis ‘bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.’

Apakah syaratnya? Kita pun tak tahu sebab tak hurai. Adakah kena bayar 50 peratus hutang? Kita tak tahu.

Berapa jumlah jatuh hukum bankrap sejak 6 Oktober 2017?
Jika mengikut kes kebankrapan yang ditadbir sehingga Disember 2019, ada 299,186 kes sementara bagi tempoh 2015 hingga Disember 2019, sebanyak 84,805. Kita tetap perlukan data lengkap daripada Jabatan Insolvensi berhubung jumlah mereka yang jatuh hukum pada 6 Oktober 2017.

Sepatutnya mereka yang jatuh hukum bermula 6 Oktober 2017 sudah maklum mengenai SOP (prosedur operasi standard) untuk bebas bankrap. Seperti saya kata tadi, kalau ada SOP seperti perlu bayar 50 peratus atau sebagainya, mereka boleh sediakan duit dari sekarang.

Adakah statistik individu bankrap tinggi sebab syarat-syarat yang dipinda pada 2017 itu seperti wajib penyampaian notis kebankrapan secara kendiri tidak dipatuhi?
Sehingga 2022, mahkamah tetap membenarkan penyampaian ganti yang tidak mengikut apa yang terkandung dalam pindaan 2017 yang mengatakan perlu penyampaian kendiri. Banyak mahkamah bagi izin untuk keluarkan nama individu dalam surat khabar (penyampaian ganti) dengan alasan tidak jumpa individu yang berhutang. Cara ini tidak betul sebab pindaan akta pada 2017 menyatakan segala Perintah Kebankrapan perlu dibuat secara penyampaian kendiri kepada diri orang yang dibankrapkan. Tanpa serahan kendiri Perintah Kebankrapan, maka individu tersebut sepatutnya tidak sah dijatuhkan hukuman bankrap.

Mereka perlu membuat penyerahan kendiri tetapi tidak dipraktikkan. Kalau perlu penyampai notis menyamar sekalipun, menyamarlah untuk melaksanakan serahan kediri sebagaimana dikehendaki oleh pindaan akta.

Saya yakin, sekiranya penyampaian kendiri 100 peratus diikuti, sudah pasti statistik kebankrapan akan turun.

Dalam Akta Insolvensi 1967 (Pindaan 2017) ada disebut pasal Tabung Bantuan Insolvensi? Apa peranannya?
Ini pun kita tak tahu ke mana duit-duit itu pergi. Kita tidak tahu nilainya setiap tahun dan ke mana ia disalurkan? Malah tidak pernah dengar pun sehingga hari ini, siapakah yang layak dibantu melalui Tabung Bantuan Insolvensi? Apakah syarat-syarat bagi memohon tabung ini? Berapakah jumlah bantuan yang boleh dimohon? Persoalan ini semua perlu dijawab oleh Jabatan Insolvensi. 


Artikel oleh: Utusan Malaysia

RAMAI BEBAS BANKRAP OKTOBER INI?

https://www.utusan.com.my/rencana/2022/07/ramai-bebas-bankrap-oktober-ini/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL