KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam (PPIM) mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada mana-mana pihak, khususnya mereka yang dikenali masyarakat.
Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya mengambil maklum isu tular berkenaan kutipan derma dijalankan orang persendirian bukan Islam untuk sebuah van jenazah bagi kegunaan Institut Kanser Negara (IKN), baru-baru ini.
Menurut beliau, tidak menjadi kesalahan buat orang bukan Islam membantu dalam kutipan dana van jenazah untuk kegunaan Muslim, namun perlu berhati-hati ke mana wang itu disalurkan.
“Usaha kita untuk bersedekah itu adakah amalan mulia dan tidak harus diteruskan jika ada perasaan ragu-ragu.
“Kita tidak mahu menidakkan kerja amal atau kebajikan dilakukan individu tersebut, malah kerjasama antara rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus dipuji.
“Namun, jika penderma ada perasaan ragu-ragu, banyak tindakan boleh diambil. Hati-hati dalam beramal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial apabila aktivis pengurusan jenazah mendedahkan tindakan seorang individu bukan beragama Islam mengutip dana untuk van jenazah bagi kegunaan IKN, sehingga menimbulkan persoalan pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
Antara persoalan dibangkitkan adalah mengapa akaun bank digunakan beliau untuk kebanyakkan kerja amalnya membabitkan akaun peribadi, selain bagaimana individu berkenaan menyediakan penyata telus.
Di samping itu, komuniti terbabit turut mempersoalkan sejauh mana kebenaran pihak IKN memohon sumbangan sebuah van jenazah dari orang awam, memandangkan ia adalah agensi atau entiti kerajaan.
Jelasnya, penderma perlu merujuk terlebih dahulu kepada IKN demi mendapatkan kepastian, sama ada agensi kerajaan itu ada memohon sumbangan van jenazah daripada orang awam.
“Saya mengingatkan orang ramai agar membuat semakan secara teliti sebelum menghulurkan sumbangan dan juga boleh melayari portal rasmi, seperti sumbangan.com, di mana ia menunjukkan jumlah diperlukan serta amaun sudah dikutip secara langsung,” katanya.
Dalam pada itu, Nadzim mendedahkan terdapat banyak NGO Islam yang menyediakan perkhidmatan urus jenazah secara percuma kepada masyarakat awam.
“Jangan terpedaya, tidak sekadar bukan Islam, ramai juga orang Islam berselindung di sebalik pangkat ustaz.
“Di mana mereka menyalahgunakan agama dan mengenakan caj tinggi dalam pengurusan jenazah yang sepatutnya menjadi satu Fardhu Kifayah dalam kalangan umat Islam,” katanya. – Getaran, 5 Julai 2022.
Artikel oleh: Getaran
WASPADA HULUR SEDEKAH, PASTIKAN TIDAK MASUK 'POKET PERIBADI' - PPIM
No comments:
Post a Comment