SHAH ALAM – Tindakan melakukan provokasi menghina agama, bangsa dan negara harus dihentikan bagi mengelak ianya terus menjadi barah dalam masyarakat.
Belum pun reda isu seorang wanita yang tular di media sosial selepas dikatakan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, seorang lelaki berstatus duda yang menghina agama Islam pula ditahan polis di Bukit Kuchai, Puchong pada Ahad.
Siasatan dan tangkapan dibuat ke atas lelaki terbabit dilakukan selepas tular satu video berdurasi 36 saat di media sosial yang memaparkan tindakannya menghina agama Islam dan bangsa Melayu.
Dalam beberapa versi video yang tular pada Ahad, lelaki itu turut dibelasah selepas rumahnya diserbu oleh orang ramai yang tidak berpuas hati dengan video celupar dan keterlaluan itu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, satu laporan polis telah dibuat orang awam pada jam 3.28 pagi, Ahad.
Wan Kamarul berkata, polis turut merampas satu telefon bimbit yang digunakan oleh suspek bagi merakam video itu.
Beliau berkata, suspek yang berstatus duda dan bekerja sebagai penghantar makanan berusia 39 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Sepang pada Isnin (hari ini) untuk permohonan reman.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak melakukan provokasi menghina agama, bangsa dan negara
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan tersebut akan menyemai semangat kebencian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Nadzim berkata, tidak kira agama apa pun, jangan hina agama sendiri atau agama orang lain.
Tegasnya lagi, cari keharmonian bukan kebencian kerana negara berdepan pelbagai krisis dan ancaman jangan ditambah perbalahan sesama sendiri.
Dalam perkembangan lain, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam hantaran di Facebook berkata, trend menghina agama dilihatnya sebagai ancaman pada keharmonian hubungan bangsa yang dinikmati oleh negara selama ini
Katanya, kejahilan itu hanya dapat diubati dengan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengajian atau merujuk kepada individu yang lebih berpengetahuan.
Jelas kenyataan itu, masyarakat Malaysia seharusnya bersama-sama menolak apa jua bentuk jenaka yang mempersenda apa jua unsur agama, budaya dan adat masyarakat.
Artikel oleh: Sinar Harian
PROVOKASI TERHADAP AGAMA, BANGSA HARUS DIHENTIKAN
No comments:
Post a Comment