Tuesday, October 4, 2022

DAHULUKAN GEG UNTUK ARAK, JUDI: PPIM - SINAR HARIAN - 03/10/2022

 

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk melaksanakan pelan Generasi Penamat (GEG) kepada arak dan judi terlebih dahulu sebelum mengharamkan rokok dan vape kepada generasi akan datang.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan ini juga bertepatan dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Justeru katanya, syor supaya kerajaan mengharamkan arak dan judi perlu kerana ia adalah perkara yang ditegah di sisi agama Islam.

“Kita adalah negara Islam. Sewajarnya aktiviti perjudian, kelab malam, rumah urut, arak dan sebagainya tidak patut ada di negara kita.

“Seeloknya kerajaan haramkan yang itu terlebih dahulu. Kita tahu, kesemua itu haram di sisi agama Islam tetapi ia masih ada di negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, PPIM sebagai sebuah entiti yang memperjuangkan pengguna Islam di Malaysia, juga mahu melihat generasi masa hadapan, beragama Islam terutamanya tidak kenal apa itu arak dan judi.

Menyentuh mengenai usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang melaksanakan GEG dengan melarang generasi yang lahir pada tahun 2007 untuk membeli, memiliki dan menghisap rokok ataupun vape, Nadzim menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang baik.

Namun katanya, adalah janggal bagi sebuah negara yang majoritinya penduduk beragama Islam mengharamkan rokok dan vape tetapi tidak mengharamkan arak serta judi.

“Kita harus haramkan semua ini dari anak-anak masa hadapan. Jika ia dilarang mengikut undang-undang sivil menerusi polisi seperti GEG ini, negara kita akan menjadi negara Islam yang dihormati dunia.

“Jika Kerajaan melaksanakan GEG bagi arak, judi, kelab malam dan sebagainya, saya yakin ramai rakyat Malaysia akan menyokongnya tidak kira bangsa dan agama,” jelas beliau.

Bersandarkan hujah hujah sama iaitu demi kesihatan rakyat, Nadzim berkata, cadangan itu juga patut digunapakai untuk laksanakan GEG ke atas minuman bergula dan ‘fast food’.

Ini kerana katanya, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 20219 mendapati 3.9 juta rakyat Malaysia mengalami penyakit kencing manis.

"Kadar ini telah meningkat dari 13.4 peratus dalam tahun 2015 ke 18.3 peratus dalam tahun 2019.

“Ini bermakna dalam kalangan 5 orang, ada seorang yang ada penyakit kencing manis. Dengan kadar ini, ia adalah antara yang tertinggi di Asia dan di dunia,” ujarnya.


Artikel oleh: Sinar Harian

DAHULUKAN GEG UNTUK ARAK, JUDI: PPIM

https://www.sinarharian.com.my/article/224140/berita/nasional/dahulukan-geg-untuk-arak-judi-ppim

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL