KERAJAAN digesa untuk
melaksanakan Generational End Game (GEG) kepada arak dan judi terlebih dahulu
sebelum mengharamkan rokok serta vape.
Menurut Ketua Aktivis
PPIM, Datuk Nadzim Johan, pengharaman arak dan judi melalui GEG itu perlu
dilakukan selaras dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Jelas beliau, arak
dan judi juga adalah perkara yang ditegah di sisi agama Islam, termasuk
lain-lain agama.
“Demi kesihatan
rakyat juga patut digunapakai untuk laksanakan GEG ke atas minuman bergula dan
makanan segera.
“PPIM sebagai sebuah
entiti yang memperjuangkan pengguna Islam di Malaysia, juga mahu melihat
generasi masa hadapan, beragama Islam terutamanya tidak kenal apa itu arak dan
judi.
“Kita adalah negara
Islam. Sewajarnya aktiviti perjudian, kelab malam, rumah urut, arak dan
sebagainya tidak patut ada di negara kita.
“Seeloknya kerajaan
haramkan yang itu terlebih dahulu. Kita tahu, kesemua itu haram di sisi agama
Islam tetapi ia masih ada di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) sedang berusaha untuk membuatkan negara Malaysia menjadi negara
pertama di dunia yang melaksanakan GEG dengan melarang generasi yang lahir pada
tahun 2007 untuk membeli, memiliki dan menghisap rokok ataupun vape.
Begitupun, katanya, adalah janggal bagi sebuah negara yang
majoritinya penduduk beragama Islam mengharamkan rokok dan vape tetapi tidak
mengharamkan arak dan judi.
“Kita harus haramkan semua ini dari anak-anak masa hadapan.
Jika ia dilarang mengikut undang-undang sivil menerusi polisi seperti GEG ini,
negara kita akan menjadi negara Islam yang dihormati dunia.
“Jika Kerajaan melaksanakan GEG bagi arak, judi, kelab
malam dan sebagainya, saya yakin ramai rakyat Malaysia akan menyokongnya tidak
kira bangsa dan agama,”katanya.
Nadzim juga menambah, tujuan utama kerajaan mahu
melaksanakan GEG adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan
mengurangkan penyakit berkaitan rokok dan juga menjimatkan kos kesihatan
negara.
Katanya, hujah yang sama juga perlu digunakan untuk
penyakit yang boleh dikaitkan dengan tabiat buruk seperti minuman bergula dan
makanan makanan segera.
“Menteri Kesihatan tidak boleh pilih kasih dan hanya
tumpukan kepada rokok dan vape sahaja. Malaysia merupakan negara Asia Tenggara
paling tinggi kadar obesiti dan penyakit kencing manis.
“Ini disebabkan oleh minuman bergula dan makanan segera dan
penyakit yang berkaitan dengan ini juga menyebabkan kos yang tinggi kepada
Kerajaan,” ujarnya.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 20219, terdapat 3.9 juta
rakyat Malaysia yang ada penyakit kencing manis.
Kadar itu telah meningkat dari 13.4% dalam tahun 2015 ke
18.3% dalam tahun 2019. Ini bermakna dalam kalangan 5 orang, ada seorang yang
ada penyakit kencing manis.
Artikel oleh: UtusanTV
GUNA GEG UNTUK HARAMKAN ARAK DAN JUDI TERLEBIH DAHULU - PPIM
https://utusantv.com/2022/10/04/guna-geg-untuk-haramkan-arak-dan-judi-terlebih-dahulu-ppim/