Kuala Lumpur: Bekas jururadiografi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menghidap kanser tidak menolak kemungkinan menyaman hospital itu berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Bekas juru X-ray Unit Perubatan Nuklear PPUM, Nur Fauzia Abdul Razak, 35, memberitahu, langkah itu akan diambil jika tiada penyelesaian secara baik dicapai.
Peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) yang mewakili Nur Fauzia berkata, anak guamnya akan memfailkan saman kecuaian atau memulakan prosiding penzahiran kehakiman terhadap PPUM jika tiada perbincangan diadakan.
Menurutnya, kerajaan turut disaran mempertimbangkan mekanisme pampasan automatik atau 'no-fault insurance' kepada pekerja yang terdedah kepada radiasi dan disahkan menghidap kanser, tanpa mangsa perlu terlebih dahulu membuktikan pihak bertanggungjawab.
Beliau berkata, mekanisme itu penting bagi memastikan pekerja dalam sektor berisiko mendapat perlindungan dan pampasan sewajarnya sekiranya mengalami penyakit serius, selain mengelakkan mangsa berdepan proses panjang untuk membuktikan punca penyakit.
"Tak kisahlah siapa yang salah, jika seseorang itu bekerja di unit berisiko serta mendapat kanser, pampasan patut diberikan.
"Saya rasa mekanisme itu perlu ada kerana ini hak pekerja, nasib hidup mereka. Pekerja ini berisiko mendapat penyakit berkenaan kerana persekitaran kerja mereka," katanya pada sidang media berkaitan dakwaan pendedahan radiasi di Unit Perubatan Nuklear PPUM.
Sidang media itu diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.
Turut hadir, peguam, Sabrina Mohd dari firma guaman Tetuan Aimee & Zaim Arif; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; wakil dari Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia dan Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (ReformIPT).
April lalu, Nur Fauzia mendakwa, berlaku pelanggaran serius prosedur keselamatan radiasi di Unit Perubatan Nuklear PPUM sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan kakitangan dan pesakit.
Nur Fauzia yang kini disahkan menghidap Kanser Hodgkin's Lymphoma tahap empat dilaporkan berkata, dia terpaksa dibersarakan awal kerana tidak lagi mampu bekerja dan masih menjalani rawatan kemoterapi.
Katanya, setakat ini, dia menjalani lebih 20 kitaran kemoterapi selain mendakwa penyakit dihidapinya berpunca daripada kesan pendedahan radiasi jangka panjang atau dikenali sebagai 'stochastic effect'.
Mengulas lanjut mengenai pemberian pampasan itu, Wan Azmir berkata, mekanisme berkenaan boleh menggunakan standard perlindungan insurans bagi menentukan kadar pampasan berdasarkan penyakit yang dialami serta kesan terhadap kualiti hidup mangsa.
Beliau berkata, antara cabaran dihadapi dalam kes seperti itu ialah kesukaran mendapatkan pengesahan pakar bagi mengaitkan penyakit dengan tempat kerja berkenaan.
Sementara itu, pihak peguam berkata, mereka sedang berusaha mendapatkan kenyataan bertulis daripada beberapa individu yang didakwa turut mengalami masalah kesihatan ketika bekerja di unit sama bagi membantu menentukan sama ada terdapat pola kes yang perlu disiasat.
Wan Azmir berkata, pihaknya perlu mengenal pasti individu berkenaan serta mendapatkan keterangan dan dokumen berkaitan sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat mengenai punca penyakit mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, turut dituntut supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan pendedahan radiasi terhadap pekerja di PPUM, selain meminta dokumen berkaitan perolehan dan kelulusan mesin PET-CT didedahkan.
Pihak peguam sebelum ini mendakwa sudah empat bulan menunggu pertemuan dengan pengurusan PPUM bagi membincangkan penyelesaian, namun sehingga kini, tiada sebarang pertemuan diatur.
Justeru Wan Azmir berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang dalam tempoh dua hingga tiga minggu sekiranya tiada perkembangan lanjut daripada PPUM.
"Apa yang kami mahu daripada PPUM ialah untuk menentukan sama ada mereka adalah pihak yang menyebabkan Nur Fauzia mendapat kanser. Jika PPUM memang pihak yang terbabit, mereka sepatutnya memberikan pampasan.
"Jika bukan, sudah tentu tindakan undang-undang tidak sepatutnya diambil terhadap mereka," katanya.
Wan Azmir berkata, pihaknya mahu menentukan sama ada penyakit Nur Fauzia berpunca daripada pendedahan atau proses keselamatan.
Wan Azmir berkata, pihaknya mahu menentukan sama ada penyakit Nur Fauzia berpunca daripada pendedahan atau proses keselamatan yang tidak dipatuhi.
Dalam pada itu, Nur Fauzia turut menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun kritikal atau elaun khas kepada juru-X-ray dan pekerja lain yang terdedah kepada radiasi sebagai sebahagian daripada perlindungan pekerjaan.
Katanya, manfaat dan perlindungan sedia ada untuk pekerja terbabit juga wajar dikaji semula, termasuk aspek peralatan perlindungan diri (PPE) dan cuti berkaitan pendedahan radiasi.
"Saya rasa mungkin kerajaan boleh buat satu inisiatif, manfaat tambahan kepada juru-X-ray. Mungkin cuti radiasi 14 hari itu ditambah atau diberikan elaun kritikal atau elaun khas kepada semua juru X-ray di Malaysia.
"Juru-X-ray mempunyai pekerjaan yang berisiko dan mungkin kerajaan boleh kaji semula manfaat, PPE atau elaun kritikal kepada mereka," katanya.
Nur Fauzia berkata, beliau kini tidak lagi bekerja dan hanya menerima pencen, selain tidak menerima pampasan khusus berkaitan penyakit yang dialaminya.
"Saya sudah kehilangan keupayaan untuk bekerja dan terpaksa bersara awal selepas melalui rawatan kanser.
"Ramai yang tahu mengenai perkara ini, tetapi mereka masih bekerja dan takut untuk tampil ke hadapan. Disebabkan itu saya tampil kerana tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada pekerja lain yang masih terdedah kepada radiasi.
"Kalau benar ada risiko kepada pekerja, kerajaan perlu mengambil tindakan supaya keselamatan mereka lebih terjamin," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
BEKAS JURURADIOGRAFI PPUM MAHU SAMAN HOSPITAL
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/09/1413516/bekas-jururadiografi-ppum-mahu-saman-hospital

No comments:
Post a Comment