KUALA LUMPUR: Bekas jururadiografi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menghidap kanser mengancam menyaman hospital itu berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), jika tiada penyelesaian secara baik dicapai.
Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Nur Fauzia Abdul Razak, pesakit limfoma Hodgkin tahap empat, berkata anak guamnya akan memfailkan saman kecuaian atau memulakan prosiding penzahiran kehakiman terhadap PPUM jika tiada perbincangan diadakan.
“Jika tiada pertemuan antara Fauzia dan PPUM, kita tiada pilihan selain membawa perkara ini ke mahkamah.
“Langkah seterusnya sama ada memfailkan tuntutan kecuaian atau tindakan penzahiran terhadap PPUM,” katanya pada sidang media.
April lalu, Fauzia mendakwa tiga kakitangan hospital menghidap kanser manakala empat lagi mengalami penyakit berkaitan tiroid selepas mesin PET-CT dipasang di hospital itu beberapa tahun lalu.
Dakwanya, semua mereka bertugas di Jabatan Radiologi PPUM.
PPUM bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan berkata mesin PET-CT sentiasa dikendalikan mengikut piawaian keselamatan ketat, dengan tahap pendedahan radiasi terkawal serta mematuhi standard ditetapkan.
Hospital itu turut berkata, kakitangan yang mengendalikan mesin berkenaan diwajibkan memakai dosimeter peribadi, manakala rekod rasmi menunjukkan kadar dedahan pekerja jauh lebih rendah dan berada di bawah had dos diwartakan.
Kementerian Kesihatan kemudian membersihkan PPUM daripada dakwaan pelanggaran SOP selepas siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, gabungan pertubuhan masyarakat sivil yang terdiri Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Gabungan itu mahu RCI menyiasat dakwaan ketidakpatuhan aspek keselamatan serta manipulasi rekod pendedahan radiasi peribadi di hospital berkenaan.
Artikel oleh: Free Malaysia Today
BEKAS JURURADIOGRAFI PPUM MAHU SAMAN BERKAIT DAKWAAN LANGGAR SOP

No comments:
Post a Comment