Showing posts with label UTUSANTV. Show all posts
Showing posts with label UTUSANTV. Show all posts

Wednesday, March 15, 2023

PPIM BIDAS NGO GESA SAIFUDDIN NASUTION LETAK JAWATAN - UTUSANTV - 14/03/2023

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membidas badan bukan kerajaan (NGO) yang menggesa agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail meletakkan jawatan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, Saifuddin Nasution tidak perlu tunduk kepada desakan oleh NGO yang mementingkan agenda songsang untuk mengenepikan undang-undang negara.

Tegas Nadzim, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA adalah sah disisi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita adalah rakyat Malaysia dan wajib patuh kepada undang-undang negara dan mempertahankan kedaulatan negara, jika kita tidak menegakkan undang-undang negara
apa lagi yang kita ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata,adalah menjadi prinsip PPIM menyokong sesiapa sahaja atau mana-mana  pihak yang tegar mempertahankan undang-undang negara.

“Tidak ada salahnya beliau (Saifuddin Nasution) menyatakan Akta Sosma masih diperlukan dalam negara, hanya pengkhianat dan mereka yang menderhaka kepada Sultan dan pemerintah negara ini sahaja yang menentang undang-undang sedia ada,” katanya.

Tambah Nadzim, semua pihak perlu melalui proses yang betul jika mahukan perubahan dalam undang-undang negara.

Katanya, desakan agar Saifuddin Nasution meletak jawatan adalah tidak relevan kerana beliau hanya menjalankan tugas sebagai menteri.

Ujar beliau, terdapat banyak kaedah lain dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah.

“Antaranya Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 atau bon kelakuan baik dan sebagainya.

“Bukan semua perlu dipenjara tetapi apa pun, gunakan saluran yang betul untuk lakukan perubahan, bukan mendesak sebegini” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Saifuddin Nasution menegaskan Akta SOSMA masihdiperlukan negara ketika ini.

Rentetan itu, Kumpulan hak asasi Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) dilaporkan menggesa Saifuddin Nasution digugurkan daripada portfolio keselamatan dalam negeri, kerana mendakwa jawatan itu perlu digalas seseorang yang menghormati hak asasi manusia dan mahu menegakkan keadilan.

“Mendukung Perlembagaan negara dan mengangkat undang-undang sedia ada adalah satu perkara yang terpuji. Kami sokong tindakan Saifuddin,” katanya.


Artikel oleh: UtusanTV

PPIM BIDAS NGO GESA SAIFUDDIN NASUTION LETAK JAWATAN

https://utusantv.com/2023/03/14/ppim-bidas-ngo-gesa-saifuddin-nasution-letak-jawatan/

Tuesday, October 4, 2022

GUNA GEG UNTUK HARAMKAN ARAK DAN JUDI TERLEBIH DAHULU - PPIM - UTUSANTV - 04/10/2022

 

KERAJAAN digesa untuk melaksanakan Generational End Game (GEG) kepada arak dan judi terlebih dahulu sebelum mengharamkan rokok serta vape.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pengharaman arak dan judi melalui GEG itu perlu dilakukan selaras dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Jelas beliau, arak dan judi juga adalah perkara yang ditegah di sisi agama Islam, termasuk lain-lain agama.

“Demi kesihatan rakyat juga patut digunapakai untuk laksanakan GEG ke atas minuman bergula dan makanan segera.

“PPIM sebagai sebuah entiti yang memperjuangkan pengguna Islam di Malaysia, juga mahu melihat generasi masa hadapan, beragama Islam terutamanya tidak kenal apa itu arak dan judi.

“Kita adalah negara Islam. Sewajarnya aktiviti perjudian, kelab malam, rumah urut, arak dan sebagainya tidak patut ada di negara kita. 

“Seeloknya kerajaan haramkan yang itu terlebih dahulu. Kita tahu, kesemua itu haram di sisi agama Islam tetapi ia masih ada di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha untuk membuatkan negara Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melaksanakan GEG dengan melarang generasi yang lahir pada tahun 2007 untuk membeli, memiliki dan menghisap rokok ataupun vape.

Begitupun, katanya, adalah janggal bagi sebuah negara yang majoritinya penduduk beragama Islam mengharamkan rokok dan vape tetapi tidak mengharamkan arak dan judi.

“Kita harus haramkan semua ini dari anak-anak masa hadapan. Jika ia dilarang mengikut undang-undang sivil menerusi polisi seperti GEG ini, negara kita akan menjadi negara Islam yang dihormati dunia.

“Jika Kerajaan melaksanakan GEG bagi arak, judi, kelab malam dan sebagainya, saya yakin ramai rakyat Malaysia akan menyokongnya tidak kira bangsa dan agama,”katanya.

Nadzim juga menambah, tujuan utama kerajaan mahu melaksanakan GEG adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan mengurangkan penyakit berkaitan rokok dan juga menjimatkan kos kesihatan negara.

Katanya, hujah yang sama juga perlu digunakan untuk penyakit yang boleh dikaitkan dengan tabiat buruk seperti minuman bergula dan makanan makanan segera.

“Menteri Kesihatan tidak boleh pilih kasih dan hanya tumpukan kepada rokok dan vape sahaja. Malaysia merupakan negara Asia Tenggara paling tinggi kadar obesiti dan penyakit kencing manis. 

“Ini disebabkan oleh minuman bergula dan makanan segera dan penyakit yang berkaitan dengan ini juga menyebabkan kos yang tinggi kepada Kerajaan,” ujarnya.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 20219, terdapat 3.9 juta rakyat Malaysia yang ada penyakit kencing manis. 

Kadar itu telah meningkat dari 13.4% dalam tahun 2015 ke 18.3% dalam tahun 2019. Ini bermakna dalam kalangan 5 orang, ada seorang yang ada penyakit kencing manis. 


Artikel oleh: UtusanTV

GUNA GEG UNTUK HARAMKAN ARAK DAN JUDI TERLEBIH DAHULU - PPIM

https://utusantv.com/2022/10/04/guna-geg-untuk-haramkan-arak-dan-judi-terlebih-dahulu-ppim/

Wednesday, September 8, 2021

5922) PPIM AGIH SUMBANGAN INFAQ REZEKI BAGI PEMANDU TEKSI -UTUSANTV - 28/08/2021

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif berganding bahu bersama beberapa rakan sinerginya menjayakan misi kemanusiaan agihan sumbangan Infaq Rezeki kepada pemandu teksi.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, agihan itu turut melibatkan kerjasama dengan beberapa organisasi lain termasuk Gerbang Sumbangan Sdn. Bhd, Yayasan Patriot Negara Malaysia, Icon Production Sdn. Bhd. dan Satria Intelligence Agency Sdn. Bhd.

Kata beliau, misi kemanusiaan itu bagi membantu orang ramai terutama pemandu teksi dan limosin yang berhadapan impak besar akibat penularan COVID-19.

“Agihan Infaq Rezeki Jelajah Utara Prihatin telah bermula mulai semalam hingga Isnin ini melibatkan sumbangan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti adanya pemandu teksi dan limosin.

Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri (Tengah) bersama Wakil Perkeso Mohd Razmi Khalid (kiri) dan Pengasas Kingz MG Azul Hairi Berkhanuddin (Kanan) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang pemandu limo Pulau Pinang yang terjejas hari ini

“Ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang; Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Pinang; Jeti Pulau Langkawi; Kompleks Terminal Bas dan Teksi Kangar, Perlis dan Terminal Bas Shahab Perdana, Kedah.

“Sumbangan ini melibatkan lebih 400 pemandu teksi dan limosin yang rata-rata terkesan dengan impak pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program tersebut merupakan lanjutan daripada Program Prihatin Sinergi Infaq Rezeki kepada 200 pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Julai lalu.

Agihan di bahagian Utara tanah air itu juga melibatkan beberapa pihak dan agensi termasuk Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Langkawi Development Authority (Lada), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pihak-pihak lain.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, agensi tersebut turut menyediakan kemudahan logistik bagi program Infaq Rezeki kali ini.

“Kita telah berkolaborasi dengan menyediakan kemudahan logistik agar proses menyalurkan sumbangan bagi kempen Infaq Rezeki sebanyak 500 kotak barangan asas keperluan dapur bernilai RM40,000 ini dapat disampaikan sebaiknya.

“Ia juga bagi menzahirkan keprihatinan kita semua kepada penerima manfaat Infaq Rezeki di saat pandemik COVID-19 dan menyemarakkan semangat patriotik kepada semua yang terlibat,” jelas beliau.


Artikel oleh: UtusanTV

PPIM AGIH SUMBANGAN INFAQ REZEKI BAGI PEMANDU TEKSI

https://utusantv.com/2021/08/28/ppim-agih-sumbangan-infaq-rezeki-bagi-pemandu-teksi/

Saturday, July 24, 2021

5814) 200 PEMANDU TEKSI KLIA TERIMA AGIHAN INFAQ REZEKI - UTUSANTV - 24/07/2021

 

SERAMAI 200 pemandu teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima Infaq Rezeki hasil sumbangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama pelbagai agensi lain.

Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan, program dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi itu melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM16,000.

“Ujian pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia tentunya memberi impak besar buat kita semua. Ramai yang telah kehilangan tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan.

“Oleh demikian, bagi meringankan ujian mereka yang terkesan, PPIM di bawah selian Unit Kebajikan PPIM (UKPPIM), PERKESO, KINGZ Motorcycle Group, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWIP), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd & Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) telah berkolaberasi bagi Agihan Sumbangan Infaq Rezeki untuk menyantuni pemandu teksi KLIA,” katanya.

Menurut Nadzim, agihan ini turut melibatkan jalinan kerjasama dan tajaan beberapa organisasi seperti sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn Bhd), Yayasan PATRIOT Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan SATRIA Intelligence Agency Sdn Bhd.

“Ujian ini sebenarnya untuk kita bersama – sama menghadapinya dan membantu saudara – saudara kita. Oleh yang demikian PPIM bersama-sama beberapa organisasi, penaja & penyumbang berganding bahu bagi menyalurkan bantuan.

“Berdasarkan maklum balas yang kami terima dari penyelaras, pemandu teksi juga merupakan golongan yang tidak
terkecuali berhadapan saat gentir ini.

“Mereka sangat memerlukan sumbangan bantuan dengan kadar segera terutama bagi mereka yang merupakan golongan asnaf dan B40. Kami dengan ini berusaha bersama-sama menguruskan untuk menghantar bantuan sumbangan dan beberapa keperluan pada tarikh yang dinyatakan di atas,” jelasnya.


Artikel oleh: UtusanTV

200 PEMANDU TEKSI KLIA TERIMA AGIHAN INFAQ REZEKI

https://utusantv.com/2021/07/24/200-pemandu-teksi-klia-terima-agihan-infaq-rezeki/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL