KUALA LUMPUR: Perubahan mekanisme membabitkan bantuan kewangan haji yang
pertama kali dilaksanakan secara bersasar seperti diumumkan semalam, dilihat
tindakan tepat dan wajar diteruskan Lembaga Tabung Haji (TH) pada musim akan
datang.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia
(UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata ia secara tidak
langsung memberi gambaran bahawa bantuan berkenaan akan sentiasa berubah
mengikut situasi kewangan TH.
"Melalui pendekatan ini, maka pendeposit haji perlu sedar mereka
tidak harus bergantung semata-mata kepada bantuan, tetapi meneruskan usaha
menabung sehingga mencukupi untuk menampung kos penuh menunaikan haji.
"Kemungkinan TH mengambil ketetapan meneruskan bantuan kewangan
haji walaupun peratusannya sedikit rendah daripada sebelum ini kerana pelbagai
faktor, antaranya TH masih mempunyai kemampuan kewangan untuk berikan
bantuan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif
TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin mengumumkan bayaran haji dikenakan TH kepada
bakal jemaah tahun ini, dinaikkan secara bersasar sebanyak RM1,000 dan RM3,000
seorang, tertakluk kepada kategori pendapatan masing-masing.
Katanya
lagi, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji tahun ini (1443H/2022M) dan
memperkenalkan pendekatan secara bersasar bagi memastikan ia dimanfaatkan
sepenuhnya golongan paling memerlukan.
Bayaran
haji untuk jemaah Muassasah bagi golongan B40 dikenakan sebanyak RM10,980,
iaitu peningkatan hanya RM1,000 seorang, manakala jemaah Muassasah dalam
kategori bukan B40 ialah sebanyak RM12,980 seorang, peningkatan RM3,000 atau
purata 2.3 peratus setahun.
Ahmed
Razman berkata, mengikut pemerhatiannya, keputusan untuk turut memberikan
kemudahan bantuan kewangan kepada golongan selain B40 mungkin disebabkan TH
tidak mahu pendeposit gusar dan marah sekiranya keputusan drastik dibuat.
Selain
itu, katanya, antara faktor lain yang mungkin mempengaruhi pemberian bantuan
kewangan berkenaan, disebabkan kuota jemaah haji yang dibenar mengerjakan
ibadat itu adalah rendah disebabkan situasi pandemik COVID-19, iaitu sekitar
14,306 orang berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.
Sementara
itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menyambut baik langkah
berkenaan yang disifatkan sebagai lebih berfokus khususnya untuk membantu
pendeposit yang benar-benar memerlukan.
"Eloklah
pendekatan ini dibuat dan ia juga antara tujuan kita mencarum iaitu untuk
membantu pendeposit yang sepatutnya dibantu. Bagaimanapun, jika ada golongan
tertentu misalnya M40 yang senasib dengan B40, saya sarankan TH supaya berilah
bantuan pada kadar yang sama seperti B40," katanya.
Beliau
turut menasihatkan pendeposit yang tidak berkemampuan untuk bersabar dan
sebaiknya menunggu sehingga tabungan mencukupi kerana bagi yang tidak mampu,
hukum menunaikan ibadat haji adalah tidak wajib.
"Jadi
bersabarlah dan tunggu giliran yang tepat masa akan datang. Namun, TH juga
boleh berikan kemudahan misalnya pertimbang supaya individu ini diberi
keistimewaan tertentu (kurangkan bayaran) untuk pergi menunaikan ibadat
haji," katanya.
Ketua
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sebelum
ini mencadangkan subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang membuat
permohonan, hairan mengapa TH tidak melaksanakan pendekatan sedemikian.
"Agak
pelik apabila TH terus memberikan bantuan kewangan haji kepada semua, termasuk
pendeposit yang kaya, ada kemampuan dan terang-terangan tidak layak. Ini
masalah kita, dari dulu lagi amalkan pemberian subsidi kepada semua, sehingga
orang yang tak memerlukannya pun dapat manfaat," katanya.
Tegasnya,
pendekatan bantuan kewangan sedemikian tidak lagi relevan dengan keadaan
kewangan semasa TH, ditambah dengan kemungkinan kos mengerjakan haji akan terus
meningkat dari tahun ke tahun.
"Seperti
saya tegaskan, berilah pilihan kepada pendeposit, jangan jadikan bantuan ini
mandatori. Dasar sebegini bagus kalau TH ada duit yang banyak, dalam keadaan
ekonomi sekarang, lebih baik tumpu kepada yang memerlukan sahaja.
"Misalnya,
dengan kenal pasti pendeposit yang benar-benar layak, maka golongan dalam
kategori B40 mungkin tidak perlu dikenakan bayaran tambahan langsung mengambil
kira pendapatan dan kemampuan mereka," katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
PERUBAHAN MEKANISME BANTUAN KEWANGAN HAJI TINDAKAN TEPAT - PENGANALISIS
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/948802/perubahan-mekanisme-bantuan-kewangan-haji-tindakan-tepat-penganalisis