Thursday, April 21, 2022

PPIM GESA SIASATAN TERPERINCI TERHADAP KES PENDERAAN BELLA - ISMAWEB - 17/04/2022

 

BANGI, 15 Ramadan 1443H, Ahad – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat dalam kes penderaan remaja Down Sindrom dikenali sebagai Bella.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mempersoalkan, peranan pihak berkuasa sehingga membiarkan remaja berkenaan diletakkan di bawah jagaan pengerusi sebuah persatuan yang menjalankan operasi tanpa lesen.

“Dimanakah peranan pihak berkuasa dalam hal ini sehinggakan remaja itu diletakkan di bawah jagaan pengerusi sebuah persatuan yang menjalankan operasi rumah jagaan tanpa lesen?

“Siapa yang membenarkan remaja itu diletakkan di bawah jagaan individu terbabit, siapa pegawai pelindung yang dipertanggungjawabkan untuk memantau kebajikan remaja itu sepanjang tempoh dia berada di pusat penjagaan berkenaan.

“Kita tidak mahu ada pihak berselindung atau melepaskan tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nadzim turut mempersoalkan mengapa tiada pemantauan pihak berwajib ke atas kanak-kanak malang berkenaan.

“Kecederaan yang dialami oleh remaja tersebut amat menggerunkan dan pihak berkuasa seharusnya mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab mencederakan remaja berkenaan,” katanya.

Nadzim berkata, selain tertuduh yang kini berdepan dengan dakwaan mengabaikan dan menganiaya remaja tersebut, pihak berkuasa seharusnya menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

“Saya difahamkan individu yang diberikan hak penjagaan sementara ini tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan.

“Bagaimana seorang yang berada ditahap itu boleh diberikan hak penjagaan terutama sekali remaja dan bayi kurang upaya,” soal beliau.

Lebih memeranjatkan lagi seramai tujuh kanak-kanak termasuk bayi pernah diserahkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada individu tersebut sebelum kes penderaan ini terbongkar.

Justeru, Nadzim berpandangan tiba masanya pihak berkuasa bertindak tegas serta adil dalam semua siasatan yang dijalankan dan bukannya sekadar menyelesaikan kes dengan menuding jari kepada invidivu tertentu yang dijadikan kambing hitam.

“Siapa yang mendera, siapa yang membiarkan, siapa yang meletakkan remaja itu disitu, semua mereka harus dipertanggungjawabkan dan bukan satu individu yang kini didakwa, semua mereka yang diberikan amanah untuk menjaga kebajikan anak ini harus dipertanggungjawabkan,” tegasnya.

Nadzim menjelaskan, terlalu banyak kejadian jenayah yang berlaku di negara ini dan siasatan hanya sekadar dilakukan untuk menutup kes dan tidak ada penyelesaian jangka panjang yang diberikan.

“Jika kita sumbat seorang pelaku ini dalam penjara, apa jaminan pihak berkuasa bahawa individu lain tidak akan melakukan perkara sama ke atas mangsa lain dan apa jaminan JKM perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Dalam masa sama, PPIM menggesa kerajaan supaya mewujudkan dan melaksanakan protokol tetap yang lebih berkesan dan bertindak dengan lebih tegas dalam semua kes jenayah.

Tegas beliau, pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil iktibar di dalam kes penderaan Bella bagi memastikan tidak ada lagi penjawat awam yang gagal dan lalai dalam menjalankan tugas sehingga menyebabkan mangsa lain teraniaya.


Artikel oleh: Ismaweb

PPIM GESA SIASATAN TERPERINCI TERHADAP KES PENDERAAN BELLA

https://ismaweb.net/2022/04/17/ppim-gesa-siasatan-terperinci-terhadap-kes-penderaan-bella/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL