PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh melengahkan siasatan melibatkan dakwaan sembelihan haiwan di Australia yang didakwa melanggar protokol.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegaskan, pemantauan lebih kerap perlu dilakukan terhadap pusat penyembelihan terlibat sama ada mereka mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan.
Katanya, perkara halal dan haram tidak boleh diambil mudah kerana soal tersebut menjadi sumber utama makanan umat Islam di negara ini.
“Yang penting kita kena teliti dahulu sama ada mereka patuh atau sebaliknya. Masalahnya selama ini, pihak berkuasa tidak pantau setelah lesen kebenaran penyembelihan diberikan.
“Pemantauan itu penting dan secara lebih berkerap agar pihak berkenaan tidak mengambil mudah peluang diberikan pihak berkuasa untuk menyembelih haiwan dengan dipastikan mereka mematuhi peraturan kerajaan Malaysia,” katanya.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan pendedahan seorang bekas pekerja sebuah rumah penyembelihan di Australia yang mengesahkan dakwaan serta bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di situ melanggar protokol adalah benar.
Dia yang enggan namanya didedahkan berkata, rumah itu sepatutnya hanya melaksanakan kerja penyembelihan kira-kira 4,000 ekor haiwan sehari mengikut kapasiti loji yang mempunyai tiga petugas untuk melakukannya, namun diarah memproses sehingga 6,500 ekor sehari demi mengejar keuntungan.
“Segala bukti yang didedah berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di Australia sahih, saya saksi dengan ‘mata kepala’ sendiri,” jelasnya.
Sumber terbabit yang pernah menjalankan operasi penyembelihan di situ mendakwa, sebelum bertindak mendedahkan salah laku itu, dia secara konsisten membuat aduan dan membangkitkan perkara tersebut kepada wakil Jakim dan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA), namun tidak diambil peduli.
Perkara terbaharu susulan laporan akhbar ini yang mendedahkan, terdapat rumah penyembelihan kambing biri-biri di Australia yang mendapat pengiktirafan Malaysia dan Singapura didapati melanggar protokol sembelihan halal.
Menurut laporan yang disokong saksi, kambing biri-biri dilemaskan dalam darah yang terkumpul daripada haiwan yang disembelih sebelumnya dan bukannya kerana haiwan itu disembelih sebagaimana syarat dalam keperluan penyembelihan halal.
Dalam pada itu, Nadzim berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas termasuk mengkaji semula import daging sembelihan jika dakwaan itu didapati benar-benar berlaku.
Bagaimanapun, jelas beliau, siasatan dan pemantauan perlu dilakukan secara teliti terlebih dahulu bagi memastikan dakwaan itu sahih atau sebaliknya.
“Pihak berkuasa kena hantar pegawai risikan walaupun mereka mengarahkan pegawai pemantau untuk memantau kerana mungkin ada pusat penyembelihan ikut prosedur standard operasi ketika pemantauan, tetapi hari lain, lain pula jadinya,” katanya. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
ISU DAGING HALAL: JAKIM JANGAN LENGAH SIASATAN
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/jakim-jangan-lengah-siasatan/
No comments:
Post a Comment