Thursday, April 21, 2022

PPIM PERSOAL JKM SERAH BELLA KEPADA INDIVIDU TIADA PENDAPATAN - MALAYSIA GAZETTE - 17/04/2022

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius dan menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan sepenuhnya terhadap mereka yang terlibat dalam kes penderaan melibatkan remaja sindrom down dikenali Bella.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM berpendirian tegas dalam perkara ini dan tidak mahu mana-mana pihak berselindung dan lari daripada tanggungjawab mereka.

“Remaja itu diletakkan di bawah jagaan pengerusi sebuah persatuan yang menjalankan operasi rumah jagaan tanpa lesen.

“Di manakah peranan pihak berwajib, siapa yang membenarkan remaja itu diletakkan di bawah jagaan individu terbabit, siapa pula pegawai pelindung dipertanggungjawabkan untuk memantau kebajikan remaja itu sepanjang tempoh dia berada di sana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Nadzim, maklumat kes yang semakin tular di media sosial juga amat membimbangkan.

“Kecederaan dialami remaja itu amat menggerunkan dan pihak berkuasa seharusnya mengenalpasti siapa bertanggungjawab mencederakannya dan mengapa tiada pemantauan pihak berwajib,” katanya.

Nadzim berkata selain tertuduh yang kini berdepan dengan dakwaan mengabaikan dan menganiaya remaja tersebut, pihak berkuasa seharusnya menyiasat kes tersebut dengan lebih mendalam.

“Saya difahamkan individu yang diberikan hak penjagaan sementara ini tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan.

“Bagaimana seorang yang berada di tahap itu boleh diberikan hak penjagaan terutama sekali remaja dan bayi kurang upaya,” katanya.

Lebih memeranjatkan tujuh kanak-kanak termasuk bayi pernah diserahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada individu tersebut sebelum kes penderaan ini terbongkar.

“Sudah tiba masanya pihak kuasa bertindak tegas dan adil dalam semua siasatan yang dijalankan, jangan hany menyelesaikan kes dan menunding jari kepada satu atau dua kambing hitam semata.

“Siapa yang mendera, siapa yang membiarkan, siapa yang meletakkan remaja itu di situ, semua mereka harus dipertanggungjawabkan dan bukan satu individu yang kini didakwa.

“Semua mereka yang diberikan amanah untuk menjaga kebajikan anak ini harus dipertanggungjawabkan,” katanya.

Katanya lagi, sudah terlalu banyak kejadian jenayah yang berlaku di negara ini dan siasatan hanya sekadar dilakukan untuk menutup kes dan tiada penyelesaian jangka panjang.

“Jika kita sumbat seorang pelaku ini dalam penjara, apa jaminan pihak berkuasa bahawa individu lain tidak akan melakukan perkara sama ke atas mangsa lain dan apa jaminan JKM perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya. – MalaysiaGazette


Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM PERSOAL JKM SERAH BELLA KEPADA INDIVIDU TIADA PENDAPATAN

https://malaysiagazette.com/2022/04/17/ppim-persoal-jkm-serah-bella-kepada-individu-tiada-pendapatan/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL