Wednesday, April 20, 2022

YAKEB SEDIA BANTU GABIT - BERITA HARIAN - 16/04/2022

 

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sedia menghulurkan bantuan serta-merta kepada pelumba supermoto dan motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh yang disahkan menghidap kanser hidung tahap empat.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata biarpun Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) bukan ahli yayasan itu, ia bukan masalah buat pihaknya untuk memberikan bantuan kepada pelumba yang menjadi wira negara.

Katanya, beliau memerlukan maklumat terperinci berhubung dengan situasi Habibullah atau lebih dikenali Gabit ketika ini bagi memudahkan urusan bantuan disalurkan.

"Kami akan cuba bantu atlet berkenaan. Walaupun mereka belum berdaftar dengan kami, kami akan tetap bantu sebab mereka juga wira negara. Asal kita tahu dia bekas atlet negara, kita akan bantu serta merta," katanya.

Mengulas lanjut, Noorul memberitahu satu perbincangan sudah diadakan bersama MAM bulan lalu bagi mendaftarkan atlet di bawah persatuan itu menjadi ahli YAKEB.

Katanya, YAKEB memerlukan bantuan MAM untuk mentakrifkan senarai kejohanan yang boleh diklasifikasikan seperti sukan teras yang bermula dari Sukan SEA sehingga ke temasya Olimpik.

Terdahulu, YAKEB dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif membantu kumpulan bekas atlet kebangsaan menerusi bantuan tunai dan bingkisan Aidilfitri.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.


Artikel oleh: Berita Harian

YAKEB SEDIA BANTU GABIT

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2022/04/946594/yakeb-sedia-bantu-gabit


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL