SHAH ALAM: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
menyifatkan tindakan seorang guru agama di Cheras, Kuala Lumpur yang merotan
pelajarnya sehingga menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima walaupun
keluarga mangsa telah menerima permohonan maaf.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata,
tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku terutamanya di peringkat sekolah.
“Apa yang hendak diajar oleh
guru jika mereka bertindak ganas dan melulu terhadap pelajar terutama di
peringkat sekolah rendah, maka tidak hairanlah pelajar kita semakin kurang
ajar, tidak beradab dan ganas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas
laporan mengenai tindakan seorang guru sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA)
di Cheras didakwa merotan seorang murid hanya kerana meminta rakan di hadapannya
menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih.
Mengulas lanjut, Nadzim turut
mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) dan semua jabatan agama negeri
yang mengendalikan sekolah agama menjalankan pemeriksaan mental terhadap
guru-guru dan kakitangan sekolah.
“Tidak adil anak-anak menjadi
mangsa kerana guru tidak mampu mengawal emosi akibat masalah peribadi atau di
tempat kerja, anak yang tidak bersalah menjadi mangsa,” katanya
Beliau juga menasihati semua ibu
bapa yang menerima aduan daripada anak-anak mereka untuk menyiasat secara menyeluruh
dakwaan dibuat dan membuat aduan rasmi kepada pihak sekolah serta Polis Diraja
Malaysia (PDRM).
“Mereka juga boleh mendapatkan
khidmat nasihat daripada aktivis PPIM serta peguam kami berkenaan kes mereka
dan cara penyelesaian yang terbaik,” katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
Artikel oleh: Astro Awani
PPIM SARAN GURU, KAKITANGAN SEKOLAH JALANI PEMERIKSAAN MENTAL
No comments:
Post a Comment