KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyasarkan seramai 650 bekas atlet kebangsaan dalam menerima bantuan Aidilfitri bernilai RM65,000.
Kesemua penerima terdiri daripada kategori B40, golongan asnaf serta mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, program sumbangan ini dianjurkan sebagai mengenang dan menghargai jasa bekas atlet-atlet kebangsaan yang banyak mengharumkan nama negara.
“Kita adakan program sebegini untuk bantu bekas atlet negara yang hidup dalam keadaan serba kekurangan selain mengenang jasa mereka yang telah mengharumkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Seramai 650 bekas atlet menjadi sasaran YaPIEM untuk dibantu melibatkan 500 penerima akan menerima bantuan Bingkisan Aidilfitri berupa biskut raya bernilai RM100, manakala 150 bekas atlet lain akan menerima bantuan tunai RM100.
“Sumbangan ini turut mendapat kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang bertindak sebagai pengelola bagi mengumpul bekas atlet kebangsaan yang hadir untuk menerima sumbangan hari ini,” katanya ketika berucap di Majlis Sumbangan Bingkisan Aidilfitri bersama bekas atlet kebangsaan di sini hari ini.
“Setakat hari ini, kita telah kenal pasti seramai 150 bekas atlet untuk diberikan sumbangan dan di program hari ini, hanya 25 atlet yang hadir, berbaki 125 atlet lagi kita akan salurkan bantuan kemudian,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan memaklumkan menjadi satu keperluan utama untuk memastikan kebajikan para atlet mahupun bekas atlet terus terbela selari dengan jasa dan pengorbanan mereka dalam mengharumkan nama negara.
“Sepatutnya perlu ada satu peruntukan khas untuk sentiasa bantu bekas atlet kebangsaan ini terutamanya dari segi kebajikan agar tidak timbul isu mengenai mereka hidup susah selepas bersara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Artikel oleh: Kosmo
YAPEIM, PPIM SALUR BANTUAN AIDILFIRI KEPADA 650 BEKAS ATLET KEBANGSAAN
No comments:
Post a Comment