Thursday, April 7, 2022

PROMOSI RAYA AH LONG LIGAT CARI MANGSA - KOSMO - 05/04/2022

 

PETALING JAYA – Syarikat-syarikat pinjaman wang berlesen dan tidak berlesen kini semakin rancak membuat tawaran termasuk menggunakan iklan ‘promosi raya’ untuk memancing orang ramai membuat pinjaman.

Kesempatan itu diambil oleh syarikat terbabit ketika orang ramai begitu ghairah untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan serba mewah selepas dua tahun tidak dapat melakukannya akibat pandemik Covid-19.

Tinjuan Kosmo! mendapati, syarikat pinjaman menggunakan modus operandi yang cukup licik iaitu dengan menghantar khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) secara rambang kepada orang ramai selain mempromosikan tawaran pinjaman melalui media sosial.

Untuk menyakinkan orang ramai, peminjam akan ditawarkan kelulusan segera bagi setiap pinjaman selain pembiayaan peribadi dengan kadar faedah serendah 2.45 peratus setahun.

Tawaran pinjaman wang itu juga dibuka kepada semua golongan, termasuk dalam kalangan penjawat awam dan pekerja swasta.

Mengulas mengenai isu ber­kenaan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengakui, aktiviti tidak sihat itu dibimbangi akan mengundang implikasi buruk kepada orang ramai untuk jangka masa panjang.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, ramai yang memerlukan wang untuk me­nyambut Aidilfitri dan mereka (ejen-ejen pinjaman) tahu ini adalah kesempatan untuk mengaut keuntungan.

“Kita tidak boleh salahkan ejen-ejen dari syarikat pinjaman wang berlesen kerana itu memang tugas mereka, tetapi kesannya akan ditanggung oleh peminjam.

“Lebih teruk jika orang ramai terperdaya dengan peminjam wang tidak berlesen atau along kerana mudah untuk mendapat pinjaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Nadzim berkata, pihaknya cukup memahami mengenai sentimen orang ramai yang mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri semeriah mungkin selepas dua tahun tidak dapat menikmatinya akibat pandemik.

Bagaimanapun katanya, alasan itu tidak sepatutnya menjadikan orang ramai rambang mata sehingga sanggup membuat pinjaman melebihi kemampuan diri semata-mata untuk memeriahkan Aidilfitri.

“Tanpa meminjam wang pun masih boleh menyambut Aidilfitri dengan meriah,” katanya.

Terdahulu, kata beliau, PPIM sering menerima aduan berhubung tawaran pinjaman wang oleh peminjam tidak berlesen semasa musim perayaan.

Menurut beliau, kegiatan itu berterusan dengan lebih rancak sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana ejen pinjaman wang menyedari potensi mereka untuk memperoleh pelanggan yang ramai.

“Ramai yang telah memohon pengeluaran khas daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun ramai juga yang tidak layak untuk melakukannya.

“Mereka inilah yang menjadi sasaran utama kepada ejen-ejen pinjaman wang,” ujarnya.


Artikel oleh: Kosmo

PROMOSI RAYA AH LONG LIGAT CARI MANGSA

https://www.kosmo.com.my/2022/04/05/promosi-raya-ah-long-ligat-cari-mangsa/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL