Wednesday, April 20, 2022

YAKEB SEDIA BANTU GABIT - HARIAN METRO - 16/04/2022

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersedia memberi bantuan serta merta kepada pelumba supermoto dan motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh atau lebih dikenali Gabit, yang kini berdepan ujian besar apabila disahkan menghidap kanser hidung tahap empat.

Biarpun Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) tidak bernaung di bawah Yakeb, ia bukan masalah untuk pihak berkenaan tampil membantu atlet yang menjadi wira negara.

Bagaimanapun, Presiden Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, beliau memerlukan maklumat terperinci berhubung situasi Gabit ketika ini bagi memudahkan urusan menyalurkan bantuan.

"Kami akan cuba bantu atlet berkenaan. Walaupun mereka belum berdaftar dengan kami, kami akan tetap bantu sebab mereka adalah wira negara.

"Asal kita tahu dia bekas atlet negara, kita akan bantu serta merta," katanya.

Gabit yang juga juara dua kali SuperMoto Asia FIM itu disahkan menghidap penyakit berkenaan pada Disember tahun lalu dan kini sudah menjalani 33 kali rawatan radioterapi dan tujuh kali rawatan kemoterapi.

Pelumba berusia 31 tahun itu menamatkan rawatan radioterapi ke-33, kelmarin dan perlu berehat selama enam bulan bagi memantau tahap kesihatannya.

Terdahulu, Noorul memaklumkan satu perbincangan diadakan bersama MAM, bulan lalu dalam usaha untuk mendaftarkan atlet di bawah persatuan itu di bawah Yakeb.

Memandangkan sukan permotoran bukan sukan teras, Yakeb memerlukan bantuan MAM untuk mentakrifkan senarai kejohanan boleh diklasifikasikan seperti sukan teras yang bermula dari Sukan Sea sehingga ke temasya Olimpik.

"Ketika ini, saya mendapat makluman beberapa atlet permotoran mengalami masalah kesihatan dan lumpuh.

"Kami mahu mereka dapat kemudahan yang diperolehi ahli sekarang," katanya.

Hasrat untuk membolehkan atlet sukan permotoran menyertai Yakeb bukan satu perkara baharu.

Ia mula dibangkitkan sejak 2020 yang menyaksikan yayasan itu menjadi perantara bagi pertemuan antara bekas juara rali dunia, Karamjit Singh dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Terdahulu, Yakeb dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif membantu kumpulan bekas atlet kebangsaan menerusi bantuan tunai dan bingkisan Aidilfitri.

Sumbangan berupa biskut raya bernilai RM100 dan wang tunai RM100 akan disalurkan kepada 150 bekas atlet di seluruh negara.

Seramai 25 atlet menerima sumbangan yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid; Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan serta Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed.

Artikel oleh: Harian Metro

YAKEB SEDIA BANTU GABIT

https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2022/04/832752/yakeb-sedia-bantu-gabit

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL