Tuesday, April 5, 2022

ELAK PEMBAZIRAN MAKANAN, HAYATI KONSEP SEBENAR PUASA - UTUSAN MALAYSIA - 05/04/2022

 

PETALING JAYA: Umat Islam dinasihat tidak melakukan pembaziran makanan terutamanya pada bulan Ramadan sebagai menghormati konsep sebenar amalan puasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pembaziran makanan dalam bulan Ramadan merupakan satu perkara yang tidak masuk akal apabila perkara itu sering berlaku setiap kali bulan puasa tiba.

Justeru, beliau berkata, pendidikan dan amalan disiplin perlu dititikberatkan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran makanan sehingga menyimpang konsep sebenar.

“Pembaziran ini tidak masuk akal sebenarnya, ditambah pula dengan hotel yang menawarkan pelbagai hidangan makanan yang terlampau banyak, jadi ini (seperti) tidak kena dengan amalan puasa itu sendiri.

“Oleh itu, pendidikan berjimat ini perlu bermula daripada masyarakat dan pendidikan diajar seawal di rumah, bukan di sekolah.

“Apabila membazir, maka menjejaskan amalan dan lari daripada konsep puasa itu sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan dibuang setiap hari oleh rakyat Malaysia sepanjang bulan Ramadan tahun lepas.

Orang ramai membanjiri tapak bazar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan pendaftaran MySejahtera dalam tinjauan di Bazar Kuala Berang, Terengganu semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pembaziran sering berlaku setiap kali Ramadan kerana banyak makanan dibeli lebih daripada dikehendaki semasa berbuka.

“Realiti ini perlu dicegah kerana dua tahun sebelum dapat kurang (pembaziran). Masyarakat pada masa ini dalam ekosistem membeli lebih dari keperluan yang mana bercanggah dengan falsafah puasa, realiti ini berlaku tiap-tiap tahun.

“Kita dah memberi nasihat, suasana kini pengguna bukan dari sudut buta huruf tetapi berpelajaran, jadi kenaikan harga barang dan perkhidmatan memberi tekanan di dalam negara kita membuatkan mereka perlu lebih tanggungjawab,” katanya.

Jelas beliau, penjaja bagaimanapun tidak boleh dipersalahkan dalam soal pembaziran makanan kerana mereka hanya mendapat keuntungan apabila pengguna membeli lebih banyak daripada yang diperlukan.

“Kesalahan bukan dituju kepada penjaja tetapi dimana pergi pengguna yang bijak. Orang beriman mestilah mendidik keluarga mereka agar 2022 ini hanya membelanjakan apa yang perlu, maka tidak ada berlaku pembaziran.

“Jadi untuk menjadi golongan bijak jangan lupa ukur baju pada badan sendiri,” katanya.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

ELAK PEMBAZIRAN MAKANAN, HAYATI KONSEP SEBENAR PUASA

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/elak-pembaziran-makanan-hayati-puasa/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL