KUALA LUMPUR : Seramai 650 bekas atlet kebangsaan menerima bantuan menerusi Program Bingkisan Aidilfitri anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, inisiatif program ini diadakan khusus bagi membantu bekas-bekas atlet kebangsaan di seluruh negara yang sedang berdepan kesukaran
Menurut beliau, program yang dilaksanakan itu juga merupakan sebahagian daripada Program Inspirasi Qaseh Ramadan Raya YaPEIM yang memanfaatkan golongan asnaf dan B40 serta mereka yang memerlukan bantuan sepanjang Ramadan.
"Secara keseluruhannya bantuan itu memperuntukan sebanyak RM65,000 dengan bantuan wang tunai dan Bingkisan Aidilfitri berupa biskut raya akan diberikan.
“Usaha dan bantuan ini bagi mengenang serta menghargai jasa bekas atlet-atlet kebangsaan yang banyak mengharumkan nama negara yang mana kini mereka hidup dalam serba kekurangan dan kurang bernasib baik.
"Semoga sumbangan yang diagihkan ini diharap dapat meringankan beban bekas atlet dan memberi sedikit keceriaan buat mereka pada Ramadan kali ini, katanya kepada wartawan selepas menyerahkan sumbangan Bingkisan Aidilfitri di Wisma Perkeso di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed serta Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Menurut Mohd Redza, bantuan itu akan diagihkan melalui dua sesi iaitu sesi pertama membabitkan seramai 150 orang daripada jumlah keseluruhan penerima dengan bantuan Bingkisan Aidilfitri berupa biskut raya dan wang tunai RM100.
Sementara bagi sesi kedua pula akan diberikan kepada mereka yang berada di luar Kuala Lumpur dengan bantuan yang sama.
Sumbangan ini, jelasnya, turut mendapat kerjasama Yakeb yang bertindak sebagai pengelola bagi mengumpulkan bekas atlet kebangsaan untuk hadir menerima sumbangan.
Sementara itu, beberapa bekas atlet yang menerima bantuan menzahirkan rasa syukur kerana kebajikan mereka masih dijaga meskipun telah bersara dalam arena sukan.
Azizah Taib, 54, yang juga bekas atlet lontar peluru paralimpik berasa sangat terharu dengan bantuan yang diterima yang sedikit sebanyak dapat membantunya dalam kehidupan seharian.
"Alhamdulillah memang Yakeb tidak pernah lepas tangan terhadap kebajikan bekas-bekas atlet. Saya bersyukur kerana setiap tahun akan dipanggil. Terima kasih banyak kepada Yakeb yang tak pernah lupa kepada para atlet meskipun kita macam terpinggir," luahnya.
Bagi bekas atlet memanah, Siti Aisah Sudin, 56, pula dia menyeru agar lebih ramai bekas atlet menyertai Yakeb kerana yayasan itu amat prihatin dengan kebajikan ahli-ahlinya.
Selepas bersara dari dunia sukan, Siti Aisah tidak menunggu lama untuk menyertai Yakeb dan dia amat gembira dengan keprihatinan yayasan itu.
"Alhamdulillah bersyukur. Saya selepas bersara dari dunia sukan, saya sertai Yakeb dan setakat hari ini Yakeb tidak pernah melupakan ahli-ahlinya.
"Saya seru kepada bekas-bekas atlet kerana masih ramai lagi tak menyertai Yakeb kerana Yakeb akan menjaga kebajikan para atletnya," katanya.
Manakala, Halimah Hassan, 60, bekas atlet bola boling padang paralimpik turut berasa terharu dengan sumbangan yang diberikan dan berasa sangat dihargai kerana jasanya dikenang. "Tak tahu nak cakap macam mana, sebab walaupun sudah berhenti jadi atlet tapi masih lagi dihargai. Terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang menyumbang," kata Halimah.
Artikel oleh: Astro Awani
650 BEKAS ATLET TERIMA BANTUAN DARIPADA YAPEIM, PPIM
No comments:
Post a Comment