Friday, April 15, 2022

TAMBANG TIKET PENERBANGAN TIDAK DIKAWAL - KENYATAAN MEDIA PPIM - 15/04/2022

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melihat semula kaedah mengawal harga tiket penerbangan yang semakin tidak terkawal.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata hasil tinjauan PPIM, harga tambang penerbangan domestik khususnya antara Semenanjung dan Sabah Sarawak melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan sekitar 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (29 April-8 Mei).

“Kelmarin, PPIM membuat semakan dan kami dapati tiket sehala oleh AirAsia dari Kuala Lumpur ke Sandakan dijadual berlepas pada 30 April ini, berharga RM1,049 manakala harga tiket pergi balik oleh FireFly bagi laluan sama dan tarikh yang sama berharga RM1,400,” katanya.

Nadzim mempersoalkan bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar boleh mengeluarkan kenyataan pihak kerajaan tidak campur tangan urusan syarikat penerbangan.

“Adakah kerajaan tidak menganggap warga Malaysia dari Sabah dan Sarawak penting atau mereka anggap semua rakyat Sabah dan Sarawak berkemampuan atau tidak perlu pulang ke kampung mereka sempena musim perayaan,” katanya.

Nadzim menegaskan kerajaan wajib mengambil tindakan dan rakyat harus lebih lantang bersuara terhadap penyedia perkhidmatan penerbangan di negara ini.

“Jika susah sangat mungkin lebih baik kita menyokong syarikat penerbangan negara jiran yang menawarkan tiket penerbangan jauh lebih murah, abaikan syarikat tempatan baru kerajaan akan ambil tindakan apabila syarikat penerbangan mula hadapi masalah kewangan dan kerajaan terpaksa ‘bail-out’ mereka,” katanya.

Nadzim mahu kerajaan dan syarikat penerbangan perlu mencari jalan tengah bagi menyelesaikan isu kenaikan harga tiket ke Sabah dan Sarawak terutamanya menjelang cuti akhir tahun dan musim perayaan.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL