Saturday, April 9, 2022

JMB JANGAN GILA KUASA [METRO TV] - HARIAN METRO - 07/04/2022

 

Kuala Lumpur: Badan Pengurusan Bersama (JMB) diingatkan agar tidak 'gila kuasa' sehingga menyekat pelbagai aktiviti penduduk.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan orang ramai yang mendakwa JMB di lokaliti mereka membuat sesuatu keputusan yang tidak harmoni bagi penduduk.

Menurutnya, aduan yang diterima khususnya membabitkan penggunaan 'common area' dan beberapa halangan lain membabitkan aktiviti keagamaan.

"JMB jangan 'gila kuasa' kerana mereka hanya perlu bertindak mengikut lunas undang-undang khususnya membabitkan Akta Strata.

"Mereka yang dilantik ini perlu sedar 'kuasa' diberikan hanya untuk memastikan keadaan persekitaran kediaman teratur dan penduduk hidup dalam suasana harmoni.

"Tapi ada yang kita lihat apabila kuasa diberikan mereka melakukan pelbagai halangan khususnya membabitkan perkara sensitif seperti aktiviti keagamaan.

"Keadaan ini tidak seharusnya perlu kerana sebagai pihak yang diberi tanggungjawab, JMB tidak seharusnya melangkaui kuasa itu sehingga mengundang rasa kurang senang penduduk," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Nadzim berkata, Pesuruhjaya Bangunan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu menilai semula kelompongan pada Akta Strata agar ia dapat diperkemas dan teratur.

Katanya, justifikasi kawasan umum khususnya rumah ibadah juga perlu diteliti semula agar hak menggunakan kawasan ini tidak sewenang-wenangnya dinafikan JMB.

"Apabila perkara membabitkan isu agama, pasti ia sensitif dan boleh berlaku ketegangan jika tidak dipandang serius.

"Ini bukan sesuatu yang kita mahukan dalam hidup berjiran kerana Malaysia negara majmuk pelbagai kaum yang sentiasa mahu rakyatnya menjalani kehidupan yang harmoni," katanya.

NADZIM (tengah) ketika sidang media berhubung kejadian stor surau Avenham Garden, Puncak Alam yang didakwa dikunci oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB). FOTO Asyraf Hamzah

Artikel oleh: Harian Metro

JMB JANGAN GILA KUASA [METRO TV]

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/04/829523/jmb-jangan-gila-kuasa-metrotv

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL