Showing posts with label SUBSIDI HAJI. Show all posts
Showing posts with label SUBSIDI HAJI. Show all posts

Monday, April 25, 2022

PERUBAHAN MEKANISME BANTUAN KEWANGAN HAJI TINDAKAN TEPAT - PENGANALISIS - BERITA HARIAN - 23/04/2022

 

KUALA LUMPUR: Perubahan mekanisme membabitkan bantuan kewangan haji yang pertama kali dilaksanakan secara bersasar seperti diumumkan semalam, dilihat tindakan tepat dan wajar diteruskan Lembaga Tabung Haji (TH) pada musim akan datang.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa bantuan berkenaan akan sentiasa berubah mengikut situasi kewangan TH.

"Melalui pendekatan ini, maka pendeposit haji perlu sedar mereka tidak harus bergantung semata-mata kepada bantuan, tetapi meneruskan usaha menabung sehingga mencukupi untuk menampung kos penuh menunaikan haji.

"Kemungkinan TH mengambil ketetapan meneruskan bantuan kewangan haji walaupun peratusannya sedikit rendah daripada sebelum ini kerana pelbagai faktor, antaranya TH masih mempunyai kemampuan kewangan untuk berikan bantuan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin mengumumkan bayaran haji dikenakan TH kepada bakal jemaah tahun ini, dinaikkan secara bersasar sebanyak RM1,000 dan RM3,000 seorang, tertakluk kepada kategori pendapatan masing-masing.

Katanya lagi, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji tahun ini (1443H/2022M) dan memperkenalkan pendekatan secara bersasar bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya golongan paling memerlukan.

Bayaran haji untuk jemaah Muassasah bagi golongan B40 dikenakan sebanyak RM10,980, iaitu peningkatan hanya RM1,000 seorang, manakala jemaah Muassasah dalam kategori bukan B40 ialah sebanyak RM12,980 seorang, peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun.

Ahmed Razman berkata, mengikut pemerhatiannya, keputusan untuk turut memberikan kemudahan bantuan kewangan kepada golongan selain B40 mungkin disebabkan TH tidak mahu pendeposit gusar dan marah sekiranya keputusan drastik dibuat.

Selain itu, katanya, antara faktor lain yang mungkin mempengaruhi pemberian bantuan kewangan berkenaan, disebabkan kuota jemaah haji yang dibenar mengerjakan ibadat itu adalah rendah disebabkan situasi pandemik COVID-19, iaitu sekitar 14,306 orang berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menyambut baik langkah berkenaan yang disifatkan sebagai lebih berfokus khususnya untuk membantu pendeposit yang benar-benar memerlukan.

"Eloklah pendekatan ini dibuat dan ia juga antara tujuan kita mencarum iaitu untuk membantu pendeposit yang sepatutnya dibantu. Bagaimanapun, jika ada golongan tertentu misalnya M40 yang senasib dengan B40, saya sarankan TH supaya berilah bantuan pada kadar yang sama seperti B40," katanya.

Beliau turut menasihatkan pendeposit yang tidak berkemampuan untuk bersabar dan sebaiknya menunggu sehingga tabungan mencukupi kerana bagi yang tidak mampu, hukum menunaikan ibadat haji adalah tidak wajib.

"Jadi bersabarlah dan tunggu giliran yang tepat masa akan datang. Namun, TH juga boleh berikan kemudahan misalnya pertimbang supaya individu ini diberi keistimewaan tertentu (kurangkan bayaran) untuk pergi menunaikan ibadat haji," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sebelum ini mencadangkan subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang membuat permohonan, hairan mengapa TH tidak melaksanakan pendekatan sedemikian.

"Agak pelik apabila TH terus memberikan bantuan kewangan haji kepada semua, termasuk pendeposit yang kaya, ada kemampuan dan terang-terangan tidak layak. Ini masalah kita, dari dulu lagi amalkan pemberian subsidi kepada semua, sehingga orang yang tak memerlukannya pun dapat manfaat," katanya.

Tegasnya, pendekatan bantuan kewangan sedemikian tidak lagi relevan dengan keadaan kewangan semasa TH, ditambah dengan kemungkinan kos mengerjakan haji akan terus meningkat dari tahun ke tahun.

"Seperti saya tegaskan, berilah pilihan kepada pendeposit, jangan jadikan bantuan ini mandatori. Dasar sebegini bagus kalau TH ada duit yang banyak, dalam keadaan ekonomi sekarang, lebih baik tumpu kepada yang memerlukan sahaja.

"Misalnya, dengan kenal pasti pendeposit yang benar-benar layak, maka golongan dalam kategori B40 mungkin tidak perlu dikenakan bayaran tambahan langsung mengambil kira pendapatan dan kemampuan mereka," katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

PERUBAHAN MEKANISME BANTUAN KEWANGAN HAJI TINDAKAN TEPAT - PENGANALISIS

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/948802/perubahan-mekanisme-bantuan-kewangan-haji-tindakan-tepat-penganalisis

Wednesday, April 20, 2022

'BERI SUBSIDI HAJI KEPADA YANG MOHON SAHAJA' - BERITA HARIAN - 16/04/2022

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan supaya subsidi haji hanya diberikan kepada jemaah yang membuat permohonan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johari, berkata ini kerana jika diberikan kepada semua jemaah, mereka yang berkemampuan juga akan mendapat subsidi berkenaan.

Katanya, subsidi haji perlu diberikan kepada hanya mereka yang membuat permohonan kerana ternyata mereka memerlukannya selain inisiatif kerajaan itu akan dilihat lebih berkesan.

"Pada pendapat saya, lebih baik subsidi haji ini hanya diberikan kepada mereka yang mahu sahaja kerana akan lebih menjimatkan.

"Beri pilihan kepada jemaah sama ada mereka perlukan subsidi atau tidak, jika perlu baru bagi jika tidak, tidak perlu beri.

"Jika subsidi haji diberikan kepada semua orang termasuk jutawan, ia sama seperti subsidi minyak sekarang yang turut diambil kesempatan oleh warga Singapura," katanya kepada BH, hari ini.

Hari ini, kerajaan mengumumkan kekal dengan keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu memberi subsidi haji kepada semua jemaah, walaupun ada cadangan supaya langkah terbabit disemak dan dilaksanakan secara bersasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, dilaporkan berkata, setakat ini kerajaan kekal dengan keputusan berkenaan tanpa memilih golongan tertentu.

"Walaupun ada cadangan (bersasar), namun kita kekal bagi subsidi kepada semua. Akan ada la formula kita nak bagi nanti.

"Ini (subsidi) bukan duit kerajaan, sebaliknya subsidi itu diambil daripada keuntungan pendeposit," katanya.

Sementara itu, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) menyambut baik keputusan kerajaan yang akan memberi subsidi haji kepada semua jemaah.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata tindakan itu amat bertepatan kerana subsidi itu adalah hak pencarum itu sendiri.

"Mereka yang berhasrat melaksanakan haji akan mencarum di Tabung Haji dan subsidi yang diperoleh itu adalah hak mereka," katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan kos yang bakal dikenakan kepada bakal jemaah haji berikutan kos seorang jemaah muassasah dijangka meningkat beliau berkata, dalam keadaan sekarang kos haji juga perlu dinaikkan.

Namun katanya, kos baru itu perlu bersesuaian dan tidak membebankan jemaah nanti.

"Jika kos mengerjakan umrah naik, saya kira kos haji perlu dinaikkan juga dengan jumlah yang berpatutan antara RM12,000 sehingga RM14,000," katanya.


Artikel oleh: Kosmo

'BERI SUBSIDI HAJI KEPADA YANG MOHON SAHAJA'

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/946530/beri-subsidi-haji-kepada-yang-mohon-sahaja

SUBSIDI HAJI KEKAL UNTUK SEMUA - BERITA HARIAN - 17/04/2022

 

Artikel oleh: Berita Harian

SUBSIDI HAJI KEKAL UNTUK SEMUA

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL