Tuesday, September 19, 2017

4066) HATI KERING - HARIAN METRO - 19/9/2017

Harian Metro 19.9.2017
Hati kering itu gambaran diberikan kepada tujuh suspek remaja yang dilihat masih berlegar-legar di kawasan kejadian selepas melakukan jenayah terancang hingga meragut 23 nyawa mangsa tidak berdosa.
Aktivis Kanan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Zharif Johor berkata, suspek masih dilihat melepak dan bersembang beramai-ramai di tepi tasik berhampiran lokasi kejadian seperti tiada apa-apa berlaku sejurus kejadian.
Menurutnya, kumpulan remaja terbabit dilihat berkeliaran di kawasan tasik dari hari kejadian sehingga subuh keesokan harinya.
"Mereka seolah-olah tiada hati atau perasaan simpati. Mereka boleh bersimbang dan melepak selepas membunuh 23 nyawa.
"Jika orang lain pasti sudah takut dan bersembunyi, namun kami (kakitangan PPIM) masih boleh lihat kelibat mereka melepak tanpa rasa khuatir,"katanya kepada Harian Metro.
Dia bagaimanapun bersyukur kes itu dapat diselesaikan polis dalam tempoh masa singkat.
Menurutnya, kakitangan PPIM sangat merasai kehilangan pelajat tahfiz yang meninggal dunia itu berikutan mereka selalu dilihat berlari, mengaji al-quran dan bergurau senda.
"Hampir 90 peratus jemaah di surau berhampiran dipenuhi pelajar tahfiz terbabit setiap kali waktu solat.
"Ketiadaan mereka sangat dirasai, masih terbayang wajah mereka di ruangan mata kami. Walaupun mereka pelajar tahfiz, tetapi mereka masih kanak-kanak riang berlari dan bergurau. Saya rasa sedih dan terkesan dengan peristiwa menyayat hati ini,"katanya.
Menurut, setiap kali menunaikan solat Zuhur dan Asar kini, dia akan rasa sebak kerana kebiasaanya kiri kanan saf dipenuhi pelajar tahfiz terbabit.
"Saya doakan semoga keluarga mangsa tabah dan roh pelajar tahfiz terbabit dicucuri rahmat.
"Kanak-kanak ini juga sering menyapa pekerja kontraktor di bangunan kami yang sedang membaiki bumbung dengan memberi minuman dan makanan,"katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...