Monday, September 18, 2017

4039) CCTV PPIM rakam imej mencurigakan - Sinar Harian online - 16/9/2017

Snapshot(15)
KUALA LUMPUR - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan kelibat beberapa individu yang mencurigakan di kawasan premis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Kuala Lumpur.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, menerusi rakaman CCTV tersebut, terdapat lebih 10 orang suspek yang mencurigakan dirakam berada dalam kawasan pusat tahfiz itu sebelum kejadian berkenaan berlaku.
“Kita tidak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan pencerobohan dan pihak kami juga telah menyerahkan rakaman CCTV itu kepada polis.
“Orang kata (kejadian) ada kaitan dengan aktiviti PPIM yang mungkin orang nak balas dendam. Kita tidak berfikiran ke arah itu tetapi tiada yang mustahil. Kita tidak tahu,” katanya pada sidang media, semalam.
Awal pagi kelmarin, seramai 21 orang pelajar dan dua tenaga pengajar di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah maut dalam kejadian kebakaran yang menyayat hati tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman sebelum ini juga tidak menolak kemungkinan wujud unsur khianat dalam kebakaran tersebut.
Sehubungan itu, Nadzim memaklumkan bahawa pihaknya juga telah bekerjasama dengan polis untuk meneliti rakaman daripada lebih 20 CCTV yang berada di sekitar bangunan mereka.
Dalam pada itu, aktivis PPIM, Muhamas Zharif Johor memaklumkan bahawa pihaknya berharap agar maklumat yang diperoleh daripada rakaman CCTV itu dapat membantu polis menjalankan siasatan terperinci.
“Kawasan ini kawasan taman, antara jam 7 petang itu memang ada individu-individu yang berlegar.
“Tetapi maklumat itu masih pada polis dan polis yang meneliti maklumat itu. Maksudnya kalaulah ada berlaku kejadian mungkin kita akan dapat suspeknya,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/cctv-ppim-rakam-imej-mencurigakan-1.731465

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...