Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Izhar Abu Talib berkata, hasil risikan serta operasi yang digerakkan mendapati kawasan itu antara lubuk yang dijadikan tempat melepaskan gian.
Menurutnya, kawasan tersebut juga turut menyaksikan kadar jenayah paling tinggi berbanding kawasan perumahan lain.
“Tidak bermakna kawasan lain bebas daripada gejala tersebut, tetapi ia kurang berbanding kawasan PPR dan PA terutama di PPR Desa Rejang dan PA Sri Se­langor.
“Faktor kepadatan dan latar belakang penduduk antara pe­n­yumbang utama berlakunya gejala sosial tidak terkawal sehingga mendedahkan kepada remaja bawah umur,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) di PPR Desa Rejang, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Ketua Penyelaras Ops BAH, Azman mahmod dan Ketua Aktivtis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.
Turut serta dalam Ops BAH siri ke-38 itu termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
Dalam pada itu, Izhar me­negaskan, pihak berwajib diminta untuk memberi perhatian serius terhadap masalah ber­kenaan dan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan masalah berkenaan dapat dibanteras.
“Sekiranya dibiarkan, ia akan berlarutan dan tidak mustahil akan merosakkan golongan remaja terutama di peringkat bawah umur.
“Tindakan secara bersepadu dan konsisten perlu digerakkan agar masalah itu dapat diatasi secara menyeluruh,” ujarnya lagi.