Tuesday, September 19, 2017

4063) Pakai Apron Jalur Gemilang Tak Sesuai – PPIM - Perak Today - 18/9/2017

Snapshot(2)
PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa rakyat di negara ini supaya menghormati Jalur Gemilang dan tidak memakai bendera itu sewenang-wenangnya.
Mengenai tular isu pekerja restoran India Muslim memakai apron Jalur Gemilang, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, mereka mungkin keliru antara patriotisme dan rasa hormat terhadap bendera itu.
“Sepatutnya ada batasan dalam penggunaannya, tetapi saya merasakan bahawa pekerja itu tiada niat jahat dalam pemakaian bendera itu.” tambahnya.
Lokasi dan nama restoran itu bagaimanapun tidak dikenal pasti lapor Mstar Online.
Menurut Nadzim, apron digunakan untuk menghalang kotoran maka penggunaan Jalur Gemilang untuk tujuan itu adalah tidak sesuai.
“Kalau Jalur Gemilang dibuat sebagai baju, kita masih boleh terima. Bagaimana pula kalau ia digunakan sebagai alas kaki atau seluar dalam? Ia tidak boleh digunakan sesuka hati sahaja,” katanya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu mendidik masyarakat mengenai perkara ini.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin), Datuk Jamarulkan Kadir turut bersetuju dengan kenyataan Nadzim berhubung isu penggunaan Jalur Gemilang sebagai apron.
“Jalur Gemilang adalah simbol bagi negara kita, jadi ia tidak boleh digunakan seperti itu,” kata Jamarulkhan.
Beliau berkata, penggunaan Jalur Gemilang di topi adalah lebih baik kerana kita seolah-olah ‘mengangkat bendera itu’.
Jamarulkhan yang juga bekas presiden Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (Presma) berkata, restoran terbabit mungkin mahu mempromosikan Jalur Gemilang dan penggunaannya sebagai apron adalah tidak disengajakan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...