Monday, September 18, 2017

4050) Remaja Lelaki Yang Ditahan Bukan Suspek Kebakaran Pusat Tahfiz - KPN - Bernama - 15/9/2017

Snapshot(26)
KUALA LUMPUR 15 Sept (Bernama) -- Seorang remaja lelaki yang ditahan hari ini bukan suspek kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat di sini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
"Jika ditanya ada tangkapan? ya memang ada, tetapi dia bukan suspek kebakaran dan penahanannya hanya bagi membantu siasatan pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan polis menahan seorang pelajar tahfiz kerana dipercayai menyelinap keluar dari asrama berkenaan beberapa jam sebelum kebakaran berlaku.
Perkara itu juga telah tular di media sosial hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
Sementara itu, seorang kakitangan pusat tahfiz yang enggan dikenali berkata remaja yang dibawa melawat ke lokasi kejadian bukanlah pelajar sekolah berkenaan tetapi disyaki terlibat dalam kes kecurian di bangunan pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Menurutnya, bangunan PPIM itu terletak bersebelahan pusat tahfiz yang kini dalam proses baik pulih yang memungkinkan kes kecurian berlaku.
"Sebelum ini terdapat kes kecurian mesin air layan diri di hadapan pejabat itu dan remaja tersebut adalah penduduk kawasan sekitar kampung ini."
"Demi Allah lelaki itu bukan pelajar tahfiz sebab saya kenal semua pelajar sekolah ini," katanya.
Dalam kebakaran 5.15 pagi semalam, 21 pelajar dan dua guru merangkap warden pusat tahfiz berkenaan meninggal dunia.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1391780

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...