Bagi mendapatkan ruang lingkup  lebih luas, wartawan Mingguan Malaysia, ABD . AZIZ ITAR mendapatkan pandangan Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
mewawancara Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengenai tahap keselamatan dan masa depan sekolah tahfiz di negara ini.
 
MINGGUAN: Berdasarkan satu laporan akhbar pada Ogos lalu, sebanyak 211 kebakaran melibatkan sekolah tahfiz dari 2015 hingga 2017. Apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan sekolah tahfiz mematuhi aspek keselamatan?
NADZIM: Kerajaan perlu buat sesuatu kerana kita tidak boleh terus biarkan ada sekolah tahfiz dan anak yatim terbakar. Ini tidak masuk akal kerana sudah berapa puluh tahun kita merdeka. Takkan sampai sekarang tak ada akta mengawal sekolah tahfiz?
 
Sudah berapa ramai pelajar sekolah tahfiz meninggal dunia? Kejadian kebakaran di Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah di Guar Chempedak, Kedah pada 1989 meragut 27 nyawa pelajar.
Jadi, PPIM mendesak kerajaan mewujudkan Akta Tahfiz Nasional supaya dapat diadakan suruhanjaya, undang-undang, peraturan dan sebagainya untuk mengawal sekolah tahfiz.
Sekolah-sekolah tahfiz yang hendak ditubuhkan juga perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah akta itu. Taman asuhan kanak-kanak (taska) pun ada akta. Saya pelik kenapa sekolah tahfiz tak ada akta?
Adakah tidak penting sangat sedangkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan? Dengan adanya akta ini, tindakan undang-undang boleh di ambil ke atas pengusaha sekolah tahfiz yang menipu, tak ikut syarat atau mengabaikan aspek keselamatan.
 Sebahagian masyarakat Islam di Malaysia begitu sensitif apabila kerajaan ingin membantu sekolah tahfiz dan melihat tindakan itu sebagai campur tangan dalam urusan pendidikan agama melibatkan pihak berkuasa negeri. Komen Datuk?
NADZIM: Memang tidak dinafikan sebahagian orang Islam sensitif dalam hal ini. Tetapi perkara ini tidak boleh dibiarkan sebab ia melibatkan nyawa. Kita perlu melihat perkara ini secara serius dan perlu ditangani dengan segera. Dalam satu sudut lain, saya juga menerima banyak aduan daripada orang ramai yang marahkan kerajaan dan meminta isu ini ditangani.
Mereka bertanya siapa bertanggungjawab dan hendak disalahkan dalam kejadian melibatkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada Khamis lalu? Kita mengharapkan tindakan proaktif daripada kerajaan agar isu ini tidak lagi berlarutan.
Takkan kita hendak biarkan anak dan cucu kita berlegar dalam keadaan ini? Di Turki, ada tempat tahfiz macam hotel lima bintang. Takkan kita hendak biarkan ada sekolah tahfiz di negara ini dalam keadaan daif kerana kita bukan negara mundur.
Jadi, kita perlu ke arah mempunyai regulasi bagi mengawal sekolah tahfiz. Perkara ini perlu disegerakan dan jangan ditangguhkan. Kerajaan perlu tegas dalam hal ini. Sekarang kita tidak tahu sekolah tahfiz ini terletak di bawah akta dan kementerian mana.
Takdir dan syahid itu soal lain, tapi kerajaan macam tak buat kerja. Sekarang ini tak ada akta yang mengatakan sekolah tahfiz perlu ada alat pemadam api. Kita perlu ada akta khas untuk sekolah tahfiz.
Sekarang, akta halal pun tak ada. Susah sangat ke hendak buat akta tahfiz? Sudah puluhan tahun ada sekolah tahfiz tapi akta pun tak ada lagi. Kalau tak ada akta, bantuan hendak disalurkan ke tabung mana?
Bagaimana Datuk melihat ada sekolah tahfiz yang tidak mahu piawaian yang ditentukan menerusi dasar pendidikan maahad tahfiz?
NADZIM: Sekolah tahfiz pun perlu ada prosedur operasi standard (SOP), baik dari segi kualiti pengajaran dan kebajikan guru serta pelajar. Adakah guru di situ mendapat perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dibayar gaji yang sewajarnya dan berkelayakan?
Pelajar sekolah tahfiz pun perlu ada perlindungan insurans dan sekolah tahfiz perlu ada ciri-ciri keselamatan. Saya pun tidak faham dengan sekolah tahfiz di negara kita, seolah-olah menjadi misteri kepada semua.
Hendak buka sekolah tahfiz pun boleh sesuka hati. Ada rumah dua bilik pun boleh jadi sekolah tahfiz. Kalau hendak kekang sangat pun susah dan bebas sangat pun susah sebab kita tahu ada sekolah tahfiz yang berhaluan kiri dan ada yang berhaluan kanan. Tapi perlu seimbang.
Jadi, saya minta semua sekolah tahfiz faham. Eloklah kalau kerajaan hendak wujudkan peraturan. Satu lagi, ada banyak sekolah tahfiz di seluruh negara tapi berapa banyak yang didaftarkan?
Sepatutnya semua sekolah tahfiz didaftarkan supaya ada rujukan dan boleh dipantau. Kita tidak mahu ada sekolah tahfiz menjadi tempat penyebaran fahaman yang salah.
Tak sukar sangat hendak pantau sekolah tahfiz ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh arahkan polis untuk periksa dan sahkan setiap sekolah tahfiz itu ikut fahaman mana.