Aktivis Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi berkata, jaminan tersebut diberikan sendiri oleh pihak EAIC untuk menyiasat secara terperinci dan memastikan semua agensi penguatkuasaan terlibat mengambil tindakan terhadap sindiket peni­puan tersebut.
“Pihak PPIM tampil ke hadapan untuk membantu lebih 400 mang­sa penipuan sindiket penipuan rumah murah ini dengan menghantar laporan polis yang dibuat oleh mangsa kepada EAIC supaya pihak penguat kuasa yang menerima aduan mangsa-mangsa ini dapat bertindak lebih aktif serta proaktif.
“Kita mendapati dalang-dalang kes penipuan ini masih aktif mempromosikan rumah murah, biarpun pelbagai aduan polis telah dibuat dan sepatutnya tindakan telah diambil bagi menghentikan kegiatan haram ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan lebih 400 laporan polis yang dibuat oleh mangsa sindiket tersebut kepada EAIC di sini hari ini.
Yang turut hadir Peguam PPIM, Datuk Hishammuddin Hashim dan Timbalan Pengarah Operasi EAIC, Celemans Kasim.
Dalam pada itu, Muhammad Yusuf meminta orang ramai ter­utamanya di kawasan luar bandar supaya tidak terpengaruh dengan sindiket penipuan tersebut.
“Kami menggesa supaya sin­diket rumah murah ini menghentikan segera promosi palsu ini dan fikirkan nasib mangsa-mangsa yang telah ditipu terutamanya warga emas di kampung.
“Pihak PPIM juga telah menjalankan kajian dan mendapati sindiket ini telah lama terlibat dalam kegiatan ini dengan menjalankan pelbagai aktiviti peni­puan lain,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Ke­rajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang segera menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat skim rumah mampu milik tidak sah.
Beliau berkata, pihaknya berharap tindakan pantas tersebut dapat diikuti agensi lain bagi memastikan sindiket penipuan itu dapat ditumpaskan sepenuhnya.