Thursday, September 21, 2017

4072) 'Baju 88' punca kes cepat selesai - Berita Harian - 21/9/2017

BH (21.9.17) Baju 88
Kuala Lumpur - Siasatan kes bakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini, khamis lalu selesai dalam tempoh singkat berdasarkan pengecaman pakaian salah seorang suspek melalui rakaman kemera litar tertutup (CCTV).
Selepas kebakaran dilaporkan sekitar jam 5.10 pagi, Polis Daerah Wangsa Maju mula menggerakkan pasukan siasatannya termasuk mengumpul bukti dan maklumat dari kawasan sekitar lokasi kejadian.
Berikutan tindakan pantas, satu demi satu petunjuk mula timbul bermula daripada pemerhatian rakaman CCTV dari pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak bersebelahan pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung itu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Shariff, berkata pada peringkat awal, iaitu hari pertama kejadian, polis masih berbelah bahagi dalam mengklasifikasikan kes itu sebagai khianat atau kemalangan.
RAKAMAN MENCURIGAKAN
"Pada hari itu, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berusaha mengumpul maklumat serta menguruskan jenazah semua 23 mangsa yang masih berada di lokasi kejadian, namun elemen siasatan lain tetap dijalankan.
"Pada masa sama, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Wangsa Maju dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan melalui temu bual dengan pelajar terselamat, penduduk serta saksi,"katanya ketika ditemui BH, semalam.
Roy berkata, hasilnya ketika polis meneliti rakaman CCTV milik PPIM, mengesan sesuatu mencurigakan apabila melihat kelibat lelaki memecah masuk ruang pejabat persatuan itu beberapa jam sebelum kejadian.
"Hasil maklumat, pasukan siasatan memperoleh petunjuk kelibat lelaki memakai pakaian  bernombor 88 di bahagian belakang baju dan maklumat itu kemudian dijadikan panduan.
"Dia kemudian dikesan tidak jauh daripada pusat tahfiz berkenaan pada jam 6 petang keesokannya dan memakai baju yang sama lalu ditahan untuk siasatan lanjut.
"Daripada maklumat remaja itu, polis menahan seorang lagi rakannya setengah jam kemudian sebelum memberkas lima lagi suspek kurang lapan jam kemudian,"katanya.
Setiap bukti dan maklumat yang diterima polis akan digabungkan dengan hasil siasatan forensik pasukan itu dan bomba untuk melengkapkan kertas siasatan yang dijangka diserah kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, hari ini.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...