Friday, October 24, 2014

2168) ARKIB BERITA PPIM - 29/9/2014 ASTRO AWANI - Gabungan NGO Melayu-Islam Gubal Memorandum Perpaduan Nasional

Ketua Sekretariat, Laksamana Madya (B) Datuk Mat Rabi Abu Samah pada sidang media selepas mesyuarat khas NGO-NGO Melayu-Islam Sebagai Penggerak Perpaduan Nasional. Foto Astro AWANI


KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 wakil gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam hari ini mengadakan mesyuarat bagi menggubal satu memorandum berkaitan perpaduan nasional.

Menurut Ketua Sektretariat gabungan tersebut, Laksamana Madya (B) Datuk Mat Rabi Abu Samah, memorandum itu akan dibentangkan di sebuah konvensyen yang dipanggil Konvensyen Perpaduan Nasional pada 23 November nanti.

"Kandungan memorandum ini merupakan pandangan NGO-NGO Melayu-Islam... kandungannya akan diketuahui pada konvensyen itu.

"Dan juga kita akan memperluaskan semua jemputan kepada semua tokoh-tokoh profesional, akademik, politik, termasuk tokoh-tokoh daripada Sabah dan Sarawak," katanya pada satu sidang media selepas mesyuarat khas tersebut.

Menurut beliau, kovensyen tersebut akan dianjurkan oleh gabungan itu yang dinamakan NGO-NGO Melayu-Islam Sebagai Penggerak Perpaduan Nasional dan dirasmikan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Mat Rabi, memorandum tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau wakil kerajaan.

Mengulas tentang perbincangan mesyuarat, beliau berkata antara isu-isu yang diutarakan termasuk isu hal-hal agama, ekonomi, kaum, pendidikan, Akta Hasutan serta institusi diRaja.

Katanya isu-isu perlu ditangani secara pro-aktif sebelum perkara yang lebih serius lagi timbul di masa hadapan.

"Kita tahu di Malaysia ini ada berbilang kaum.. hal-hal agama, ekonomi, pendidikan, serta banyak isu kalau tidak ditangani dengan bijaksana tentu akan menjejaskan perpaduan nasional dan akan menjejaskan keselamatan nasional," tegasnya.

Bagaimanapun, kata Mat Rabi, adalah terpulang kepada pihak berkuasa untuk mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh NGO-NGO tersebut.

NGO-NGO Melayu-Islam Sebagai Penggerak Perpaduan Nasional merupakan gabungan NGO yang sebelum ini dikenali sebagai Barisan Perpaduan Nasional.

Gabungan tersebut yang pada awalnya terdiri daripada ditubuhkan atas tujuan membela kepentingan, keharmonian, kesejahteraan rakyat serta keamanan negara.

Gabungan NGO itu menyifatkan bahawa perpaduan mampu dicapai apabila kuasa dominan iaitu orang-orang Melayu mempunyai kuasa yang baik.

Antara badan-badan NGO besar yang turut serta dalam gabungan itu termasuk PERKASA, Muafakat, JATI, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), PEMBELA dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...