Saturday, October 18, 2014

2119) ARKIB BERITA PPIM - 30/8/2014 UTUSAN - Kerjasama Semua Banteras Pusat Judi Haram

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Penubuhan pasukan elit bagi memerangi habis-habisan kegiatan mesin judi haram yang terus aktif tidak diperlukan sebaliknya aktiviti itu memerlukan kerjasama semua agensi terlibat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kegiatan membanteras mesin judi haram tidak diperlukan seperti penubuhan pasukan elit seperti Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) yang bertanggungjawab membanteras gejala dadah.

Menurut Nadzim, pihaknya mengakui kewujudan premis mesin judi haram ini semakin bertambah, tetapi harus diingat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pelbagai lagi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara.
"Memerangi gejala judi secara habis-habisan memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihak berkuasa air, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Dengan adanya kerjasama semua agensi di atas bersama PDRM sebenarnya membantu membanteras kegiatan haram itu. Kaedah ini dilihat lebih berkesan tetapi perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Awal bulan lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan satu pasukan elit yang mempunyai fungsi seperti Sting tetapi memberi fokus utama kepada aktiviti judi haram.
Skuad itu dilaporkan akan ditubuhkan sebaik sahaja kementerian berkenaan mencapai persetujuan dengan PDRM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam soal pelantikan keanggotaannya.
Penubuhan itu berikutan pendedahan Utusan Malaysia dan reaksi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tentang kegiatan judi haram yang kini pada tahap luar biasa.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pihaknya menyokong jika kerajaan menubuhkan pasukan khas tersebut.
Katanya, rakyat menaruhkan harapan tinggi agar penubuhan pasukan elit berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi membanteras gejala haram itu yang berada pada tahap luar biasa.
"Mereka tertunggu-tunggu bilakah pasukan ini akan beroperasi kerana belum ada sebarang berita mengenainya meskipun sudah le­bih sebulan berlalu.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140831/lk_03/Kerjasama-semua-banteras-pusat-judi-haram

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...