Tuesday, October 21, 2014

2153) ARKIB BERITA PPIM - 12/10/2014 RAKYAT MARHAEN & SINAR HARIAN - Rasuah Berstruktur Mula Wujud - SPRM



KUALA LUMPUR - Rasuah yang wujud hari ini bukan sahaja dalam bentuk kumpulan atau sindiket tetapi sudah membentuk strukturnya dalam organisasi tertentu di negara ini, sekali gus mampu merosakkan dasar yang dibuat kerajaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali berkata, perkembangan terbaharu itu amat dibimbangi kerana masalah rasuah akan menjadi barah dalam masyarakat.

“Bila sudah sampai ke peringkat ini kita takut, sistem yang ada bermasalah dan orang yang ada dalam (organisasi) itu adalah orang yang bekerjasama dengan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian selepas hadir menjadi panel di Forum Pengguna IV 2014 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia di Universiti Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, masalah rasuah berstruktur lebih besar daripada rasuah individu.

"Tidak dinafikan rasuah individu masih banyak, SPRM memandang serius hal ini dan menggunakan semua langkah bagi menanganinya.

“Tetapi bila ada rasuah seumpama ini (berstruktur), semua sistem dan prosedur perlu diperbaiki bagi meminimumkan ruang dan peluang orang yang berada dalam organisasi itu terlibat dengan rasuah,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap semua ketua jabatan kerajaan terus memainkan peranan dalam memantau pegawai bawahan mereka bagi mengurangkan masalah rasuah kecil (petty corruption).

Tambah Mustafar, rasuah kecil ini juga menyebabkan penindasan berlaku di peringkat bawahan.

“Rasuah kecil ini tidak sebesar jumlah grand corruption (rasuah besar) namun, rasuah kecil itu mampu menggugat ketenteraman awam sehingga menggangu perkembangan sosial masyarakat.

“Rasuah kecil ini selalu melibatkan orang bawahan dan masyarakat umum seperti anggota penguatkuasa dengan penjaja. Walaupun rasuah yang dibuat itu kecil tetapi impaknya cukup besar memandangkan kumpulan peniaga ini ramai,” katanya.

Mustafar mengakui, jumlah tangkapan dan siasatan SPRM terhadap penjawat awam masih kecil iaitu dianggarkan sekitar 200 hingga 300 orang daripada 1.5 juta kakitangan awam ditahan SPRM setiap tahun.


“Tetapi yang dikatakan segelintir inilah perlu dihapuskan. Seluruh organisasi terkesan akibat perbuatan mereka, imej jabatan juga tercalar malah melemahkan kepercayaan orang ramai terhadap jabatan itu,” katanya.


Sumber : http://www.wargamarhaen.blogspot.in/2014/10/rasuah-berstruktur-mula-wujud-sprm.html


Sumber (Sinar Harian) : http://www.sinarharian.com.my/semasa/rasuah-berstruktur-mula-wujud-1.323826

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...