Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, langkah kerajaan yang hanya memberikan subsidi petrol kepada mereka yang berpendapatan rendah dan menengah dilihat seolah-olah `menganiaya’ segelintir rakyat yang memiliki gaji yang tinggi tetapi mempunyai tanggungan yang besar.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya mengambil kira perbelanjaan yang harus ditanggung oleh mereka yang memperoleh gaji melebihi RM10,000 namun terpaksa menampung kos sara hidup yang tinggi termasuk bayaran rumah, tanggungan keluarga dan perbelanjaan harian.

“Bagi CASSA, langkah kerajaan tidak memberikan subsidi petrol kepada mereka yang bujang dan mempunyai pendapatan lebih RM10,000 sebulan mungkin sesuai tetapi akan membebankan mereka yang memperoleh nilai gaji yang sama tetapi mempunyai tanggungan yang banyak.

“Sehubungan itu, CASSA memin­ta kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian subsidi ini termasuk nilai gaji yang diperolehi setiap bulan kerana pendapatan RM10,000 sebulan bukan penanda aras kekayaan seseorang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadz­lah semalam iaitu golongan berpendapat­an tinggi iaitu melebihi RM10,000 sebulan tidak akan menerima subsidi petrol dan perlu membayarnya mengikut harga pasaran.

Menurut Ahmad Husni, ini kerana nilai pemberian subsidi petrol yang akan diumumkan kerajaan adalah berdasarkan kumpulan pendapatan yang akan ditentukan nanti.

Jacob berkata, bagi mengelak daripada sebarang permasalahan, kerajaan diminta mementingkan kesemua golongan yang ada di negara ini serta mengkaji lebih mendalam keperluan mereka bagi merealisasikan pelaksanaan mekanisme baharu pemberian subsidi petrol.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menyambut baik langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan itu malah menyifatkan mekanisme itu perlu dilaksanakan lebih awal bagi keselesaan mereka yang berpendapatan rendah dan menengah.

“Kerajaan akan membahagikan secara adil subsidi yang tidak diberikan kepada mereka yang berpendapatan tinggi untuk kegunaan mereka yang berpendapatan rendah dan menengah.

“Subsidi yang diberikan amat bagus bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah dan ini berbentuk bantuan kepada rakyat,” katanya.