Sunday, October 19, 2014

2130) ARKIB BERITA PPIM - 18/9/2014 SINAR HARIAN ONLINE - Polisi Baharu Tangani Pembaziran Makanan

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta mewujudkan polisi baharu bagi mengenakan denda kepada mereka yang membuang makanan dalam kuantiti yang banyak, dalam usaha menangani sikap pembaziran rakyat negara ini yang dilihat amat membimbangkan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sikap pembaziran rakyat Malaysia dalam soal pemakanan kini perlu ditangani secara serius, termasuk mengenakan denda terhadap mereka terbabit.
    
"Saya rasa salah satu faktor dia ialah konsep 'buffet' yang sering kita lihat makanan yang tidak habis dimakan malah ada yang masih lagi  belum diusik terpaksa dibuang begitu sahaja.
    
"Kita kena contohi negara maju seperti Jepun, mereka amat menghargai nilai makanan itu sehingga dalam konsep buffet mereka sesiapa yang mengambil makanan berlebihan dan tidak habis dimakan boleh dikenakan denda dengan mengikut berat sisa makanan yang tidak dihabiskan," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, polisi seperti itu perlu diguna pakai terhadap semua pihak termasuk pengusaha kedai makanan, hotel dan industri, malah individu yang didapati terbabit dalam pembuangan makanan dalam kuantiti yang banyak.
    
Beliau berkata dalam menjadikan polisi itu lebih efektif, pihak berkuasa tempatan perlu memain peranan penting dalam memantau pemain-pemain dalam  industri penjualan makanan.
    
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman turut bersependapat agar mewujudkan polisi yang boleh memberi kesedaran dalam menghapuskan tabiat pembaziran itu.
    
"Masalah dia ialah rakyat Malaysia tidak pernah menghadapi masalah kebuluran, kita beli makanan memang banyak sampai ada yang tidak  digunakan sehingga tarikh luput, kita kena set satu mentaliti yang baru agar benda ini dapat kita tangani," katanya.

Mohd Yusof berkata tabiat 3R iaitu mengurangkan penggunaan, guna semula dan kitar semula harus dijadikan amalan harian supaya masyarakat mampu mengurangkan sikap pembaziran itu.
    
Dua hari lepas media melaporkan bahawa rakyat Malaysia membuang makanan sehingga 8,000 tan atau lapan juta kilogram sehari dan jumlah  itu mampu menampung bekalan makanan untuk enam juta orang.
    
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Datuk Ab Rahim Md Noor, tahap pembaziran rakyat Malaysia kini dilihat amat membimbangkan.

Sementara itu, Ab Rahim ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu bagi mewujudkan polisi itu.
    
Katanya, pada peringkat awal ini pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Hotel Malaysia untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tabiat pembaziran makanan.
    
"Tahap pertama kami sudah rancang untuk bekerjasama dengan pihak-pihak hotel untuk meletakkan label 'do not waste your food' agar ia dapat  mendidik pelanggan mereka tidak membazirkan makanan.
    
Malah kami juga akan sediakan papan kenyataan yang memaparkan info peratusan pembaziran makanan oleh rakyat Malaysia," katanya. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/polisi-baharu-tangani-pembaziran-makanan-1.318160

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...