Friday, October 24, 2014

2166) ARKIB BERITA PPIM - 12/10/2014 SINAR HARIAN - Kerajaan Perlu Kaji Peruntukan NGO


KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta mengkaji semula peruntukan untuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi Bajet 2015 kerana dianggap terlalu rendah.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, terdapat lebih 26,000 NGO yang aktif di Malaysia dan peruntukan RM50 juta diumumkan kerajaan kelmarin pasti tidak cukup untuk menampung semua NGO yang ada.

“Kami bukanlah kecewa tetapi terkejut, tidak sangka peruntukan itu terlalu sedikit.

“Kerajaan kata NGO sebahagian daripada pengembeling kerajaan dan semestinya kami ini gerakan tidak bersandarkan keuntungan,  saya percaya NGO berharap peruntukan itu sepatutnya lebih daripada itu,” katanya pada sidang media di Forum Pengguna IV 2014, semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mengkaji semula peruntukan itu bagi membolehkan NGO yang ada bergerak dengan lebih baik.

“Kita tidak terlalu bergantung pada kerajaan tetapi secara logiknya, (pada peringkat) sekolah sahaja, sudah ada 10,000 sekolah yang menggerakan kelab pengguna. Jadi berapa agihan setiap sekolah ini akan dapat? Dan bagaimana dengan NGO lain?

“Sebagai NGO pengguna kami melihat usaha untuk pendidikan pengguna itu sangat penting kerana dari situ boleh membawa kepada penjimatan yang lebih besar sekaligus menyumbang kepada pendapatan negara,” katanya.

Kelmarin, dalam pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan RM50 juta kepada NGO yang boleh dipercayai, termasuk badan-badan beruniform yang terlibat dalam kebajikan sosial, kesihatan dan keselamatan.

Mengulas lanjut mengenai pembentangan bajet itu, Ma'amor berharap kumpulan peniaga tidak manipulasi keadaan apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun depan.

“Perdana Menteri sudah nyatakan 532 barangan dan perkhidmatan dijangka mengalami penurunan harga apabila GST dilaksanakan. Bermakna ini berita baik untuk pengguna, tetapi kita masih bimbang jika ada pihak lain manipulasi keadaan itu.

“Sehubungan itu pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperhebatkan. Kerajaan perlu meneruskan penerangan sebelum GST dilaksanakan," katanya.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...