Saturday, October 18, 2014

2118) ARKIB BERITA PPIM- 27/8/2014 HARIAN METRO - Himpun 20,000

Himpun 20,000

Kekejaman tentera Zionis terhadap rakyat Palestin terus mendapat tentangan hebat daripada masyarakat di negara ini dan terbaru, satu Himpunan Solidariti Ummah akan diadakan pada 13 September ini bagi menzahirkan kecaman atas kekejaman yang dilakukan ke atas penduduk di Gaza.
Foto
Dari kiri Ketua Sekretrariat Bulan Kemarahan Ummah, Ahmad Shukry Azizan, Awang Suffian, Wakil Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Azril Hanafi Abdullah Sharwani, dan Presiden Bermotor Perodua Viva Edham Yusman Kharan bergambar selepas sidang media.
Himpunan yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin itu akan diadakan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan serta menyasarkan kehadiran seramai 20,000 peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad Awang Suffian Awang Piut berkata, selain NGO terbabit, penganjuran himpunan itu turut mendapat kerjasama beberapa pihak lain seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA); Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Perodua Viva Club (VIVAC).
Beliau berkata, pada himpunan sama, sebuah tabung dikenali Tabung Dana Pemulihan dan Pembangunan Semula Gaza akan dilancarkan bagi mengumpul dana untuk membangunkan semula Gaza memandangkan banyak kediaman; masjid dan pusat pendidikan musnah akibat serangan tentera Zionis.

“Kami menyasar untuk mengumpulkan wang tunai RM50 juta bagi mengisi tabung kecemasan ini. Justeru, kami berharap agar semua pihak terutama badan korporat akan menyumbang dana bagi mengisi tabung berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Awang Suffian berkata, pihaknya juga menggalakkan golongan belia termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menyertai himpunan itu bagi menzahirkan keprihatinan kepada masyarakat di Gaza.
“Antara objektif himpunan ini diadakan ialah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pejuang Palestin atas jasa besar mereka mempertahankan Gaza selain mengecam kekejaman dilakukan tentera Zionis.

“Tujuan lain ialah menyubur dan mengukuhkan cinta masyarakat di negara ini terhadap perjuangan pembebasan Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran himpunan itu juga adalah sebahagian daripada aktiviti dan program yang dilaksanakan Aman Palestin bersama NGO lain menerusi Bulan Kemarahan Ummah.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...