Wednesday, October 22, 2014

2163) TranungKite 21/10/2014 - Gerakan Gantung Ahli Parti Label Melayu Pendatang


Gerakan hari ini menggantung keahlian Tan Lai Soon yang berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-43 parti itu di Shah Alam semalam, mengatakan kaum Melayu, sama seperti kaum lain, ialah pendatang di negara ini.

Perwakilan dari Johor itu juga diminta menjawab surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak harus dikenakan tindakan atau dipecat selaras dengan Fasal 17.2 Perlembagaan parti, kata Timbalan Presiden Gerakan Datuk Dr Cheah Soon Hai.

"Ini bukan pendirian parti Gerakan. Kita semua rakyat Malaysia dan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang patut digelar 'pendatang' atau 'pendatang asing'," katanya dalam satu kenyataan.

Melalui kenyataan bertajuk "Gerakan komited untuk 1Malaysia, tiada siapa rakyat Malaysia adalah pendatang", Cheah mengecam perbuatan Tan itu walaupun mengambil maklum yang dia sudah menarik kembali kenyataannya dan memohon maaf.

Katanya, keputusan menggantung keahlian Tan dibuat Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu dalam satu mesyuarat tergempar hari ini susulan aduan yang dibuat beberapa ahli parti.

Pada persidangan semalam, Tan berkata kecuali Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak, orang lain di Malaysia semuanya merupakan pendatang.

"Apabila ahli Umno kata orang Cina ialah pendatang, mereka nampaknya lupa yang mereka juga pendatang dari Indonesia," tambahnya.

Sebelum itu, bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengatakan beliau hairan kenapa kaum Cina rasa sangat marah apabila digelar 'pendatang' sedangkan mereka sendiri tidak mahu menguasai bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, selepas Tan membuat kenyataan itu semalam, Zainuddin menulis di blognya mengatakan, memang benar Melayu juga merupakan pendatang.

"Tetapi, Melayu ialah pendatang paling awal yang terkuat, berani dan bijak dan kerana itulah mereka menjadi sultan dan raja yang dihormati dari sejak sejarah awal negara ini," katanya.

Sementara itu, Cheah juga turut membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas insiden tersebut dengan menegaskan parti itu sama sekali tidak membenarkan ahlinya mengeluarkan kenyataan berunsurkan perkauman.

"Kami menyeru semua pihak berhenti mengeluarkan sebarang tuduhan atau kecaman yang hanya memburukkan keadaan. Gerakan sentiasa menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara," katanya.

Kenyataan Tan semasa persidangan itu menimbulkan kemarahan, terutamanya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam yang menggesa perwakilan itu disiasat mengikut Akta Hasutan.

Gabungan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang mewakili 82 NGO Melayu Islam termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan ProMuslim, hari ini membuat laporan polis menggesa tindakan sewajarnya diambil.

Selain menuntut Tan dikenakan Akta Hasutan, Pembela juga menggesa Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong mengugurkan keahlian beliau selaras dengan janji Mah semasa persidangan itu yang mengatakan tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli yang membuat kenyataan berbaur perkauman.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...