Friday, October 31, 2014

2199) MYNEWSHUB 31/10/2014 - Ops BAH


Beberapa wanita dipercayai warga asing berpakaian mencolok mata dan dipercayai menjadi GRO ditahan malam tadi dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH) edisi ke-5 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Selain mereka, dua orang lelaki dipercayai tonto menerima padah apabila turut ditahan dalam operasi berkenaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.
Biarpun tiada akta untuk mendakwa mereka, kedua-dua lelaki itu ditahan dan diminta melakukan ujian air kencing kerana disyaki mengambil dadah.
Dua lelaki dipercayai tonto yang ditahan mengelak dari gambar mereka dirakam
Mereka berdua dibebaskan dan alat komunikasi seperti ‘walkie-talkie’ turut dipulangkan selepas ujian air kencing didapati negatif.
Sementara itu, seramai 78 orang ditahan dengan 31 daripada mereka merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 47 lagi didapati positif dadah dalam operasi berkenaan.
Dalam laporan dikeluarkan Kementerian Wilayah Persekutuan yang mengetuai operasi, sebanyak lapan premis judi haram telah diserbu dan sebanyak 57 unit CPU, 56 unit monitor, lima modem dan satu mesin judi dirampas.

Operasi edisi ke-5 malam tadi dilakukan di tiga kawasan Parlimen di Kuala Lumpur iaitu Kepong, Segambut dan Seputeh melibatkan 13 agensi dan 450 anggota.
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata operasi malam tadi turut diikuti oleh wakil dari tiga pemerhati iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Belia Wilayah Persekutuan dan Persatuan Alumni Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM.
“Orang awam dan juga pemimpin masyarakat ada menghantar surat kepada kami (kementerian) supaya diadakan operasi di kawasan masing-masing.
“Kerana itulah kita memerlukan maklumat untuk bantu kita buat serbuan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau operasi berkenaan malam tadi.
Beliau memaklumkan dalam empat edisi operasi lepas, pihak berkuasa telah merampas barangan bernilai RM5.24 juta yang terdiri daripada komputer, modem, televisyen, router internet dan mesin judi.
Dalam operasi berkenaan mereka yang ditahan dibawa ke padang kawad, Jabatan Direktorat Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalani ujian air kencing dan diperiksa dokumen perjalanan.


Agensi Anti Dadah Kebangsaan menjalankan ujian air kencing manakala Jabatan Imigresen membantu menguruskan tahanan PATI.
Organisasi lain yang terlibat adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). – MYNEWSHUB.CC

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...