Sunday, October 19, 2014

2134) ARKIB BERITA PPIM - 26/9/2014 UTUSAN - Pemilik Premis Judi Tidak Serik



Beberapa anggota penguat kuasa DBKL mengangkut sebuah mesin judi yang dirampas dari sebuah premis dalam Ops BAH di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Beberapa serbuan yang dijalankan pihak berkuasa menerusi Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) sebelum ini seolah-olah tidak menggerunkan pengusaha premis judi haram di ibu kota.

Buktinya, masih ramai pengusaha yang meneruskan kegiatan tidak bermoral itu, walaupun premis mereka pernah diserbu dan bekalan air serta elektrik turut dipotong.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan melahirkan rasa kecewa dengan sikap degil pengusaha terbabit biarpun tiga siri Ops BAH telah dijalankan dengan kehadiran ratusan anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi kerajaan.

"Saya kesal dengan sikap mereka kerana menggunakan strategi lain untuk meneruskan kegiatan termasuk membuat penyambungan haram bagi mendapatkan bekalan air dan elektrik.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak akan berputus asa dan saya nasihatkan pemilik premis judi supaya membuat permohanan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membuka perniagaan baharu yang halal.
"Ini kerana operasi bersepadu ini tidak akan berhenti sehinggalah kegiatan mereka lumpuh," katanya selepas mengetuai Ops BAH Siri 4 di Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Operasi yang turut disertai Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan itu melibatkan 378 orang penguat kuasa daripada 13 agensi antaranya Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia.


Operasi yang bermula pada pukul 10 pagi itu melibatkan kira-kira 50 lokasi di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak dan Cheras.


Sebanyak 34 pusat judi tidak berlesen diserbu dan bekalan elektrik serta air di kesemua premis tersebut telah dipotong.

Selain itu, empat pendatang asing tanpa izin dan 16 penagih dadah telah ditahan dalam operasi itu.

Sementara itu, Adnan berpuas hati dengan sokongan orang ramai, badan bukan kerajaan serta pemimpin masyarakat yang menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekali gus membantu dalam aspek risikan.

"Melalui maklumat yang disalurkan, kita dapat merancang strategi sesuai untuk menjalankan sesuatu operasi. Sebagai contoh, serbuan pada hari ini dijalankan pada waktu pagi berbanding waktu malam sebelum ini," jelasnya.

Sumber : http://ww3.utusan.com.my/utusan/Kota/20140926/wk_03/Pemilik-premis-judi-tidak-serik 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...