Friday, October 31, 2014

2198) HARIAN METRO 31/10/2014 - Peluntur Tepung Selamat



Putrajaya: Bahan peluntur ‘Benzoyl peroxide’ (BP) selamat digunakan jika kadarnya tidak melebihi 75 miligram (mg) dalam kuantiti satu kilogram (kg) tepung gandum, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, kadar BP itu sama seperti yang ditetapkan oleh Codex Alimentarius Commission (CAC), iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah program bersama standard pemakanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO).

Beliau berkata, penggunaan kadar BP di bawah 75mg dalam kuantiti satu kilogram tepung tidak akan memudaratkan kesihatan pengguna kerana ia hanya sekadar pewarna.

“Ia bertindak memutihkan tepung gandum dan jika tidak digunakan, warnanya (tepung gandum) menjadi gelap, itu sahaja.

“Sehubungan itu, tepung gandum di negara ini yang menggunakan BP di bawah 75mg masih boleh dikategorikan sebagai selamat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) ke-16 di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Persidangan selama tiga hari bermula kelmarin itu dihadiri oleh pakar dari luar negara bagi membahaskan kemajuan dan perkembangan terkini di seluruh dunia bersama pakar bedah jantung tempatan.

Baru-baru ini, media melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan mengharamkan penggunaan BP dalam tepung gandum yang dijual di negara ini.

Ia susulan daripada pendedahan dibuat Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengenai penggunaan BP memutihkan tepung yang dikhuatiri menjejaskan kesihatan pengguna.

Bagaimanapun Dr Hilmi berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama 
KPDNKK untuk membincangkan sama ada tepung gandum akan diharamkan atau sebaliknya selepas ini.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...