Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, penambahan jumlah bantuan BR1M juga menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah negara kebajikan dengan berkongsi hasil pendapatan negara yang diberi kepada rakyat untuk dinikmati semua golongan tanpa mengira kaum.

“Walaupun BR1M diberi secara berperingkat, bantuan tersebut merupakan sebahagian bentuk saluran yang dilakukan seperti negara kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

“Bantuan seperti ini sekali gus menunjukkan keprihatinan pemimpin dalam menangani isu peningkatan kos yang ditanggung oleh rakyat dan tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bantuan seperti BR1M begitu bermanfaat dan berguna untuk membantu golongan berkeluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Katanya, kaedah pemberian kepada penerima yang dibuat secara berperingkat mulai tahun depan merupakan satu tindakan wajar kerana ada penerima yang menggunakan wang pemberian tersebut untuk membeli barangan yang tidak berfaedah.

“Selain itu, mekanisme baharu juga perlu diwujudkan seperti pemberian kupon makanan atau keperluan persekolahan untuk memastikan pengguna dan juga pihak lain mendapat manfaat sepenuhnya hasil pemberian tersebut.

“BR1M mungkin boleh dijadikan rantaian ekonomi jika kerajaan mengubah kaedah seperti menukar pemberian wang kepada pemberian kupon yang boleh digunakan di Kedai Rakyat 1Malaysia yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.