Sunday, October 19, 2014

2132) ARKIB BERITA PPIM - 22/9/2014 UTUSAN - Status Projek Dipersoal


Tapak projek melibatkan pembinaan empat blok bangunan berhampiran Pandan Lake Club, Selangor yang terus mendapat bantahan penduduk berhampiran.

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Sebuah projek pembangunan perumahan berdekatan Pandan Lake Club dekat sini menimbulkan tanda tanya kepada penduduk di 57 kediaman di sekitar kawasan itu apabila tiada dokumen sah serta penjelasan diberikan kepada mereka.

Difahamkan projek itu melibatkan pembinaan empat blok bangunan 52 tingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pandan Perdana, Hashim Mahmud, 58, berkata, dalam beberapa sesi dialog yang diadakan antara badan bertindak itu bersama penduduk, kesemuanya sebulat suara membantah projek tersebut.

"Sehingga hari ini, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masih tidak bertemu dengan penduduk bagi menjelaskan status projek berkenaan.

"Kami juga kecewa terhadap wakil rakyat di kawasan ini yang sepatutnya membela nasib penduduk, namun tidak pernah turun padang mendengar masalah kami," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Biro Penyiasatan dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Sheikh Abd. Kareem S. Khadaied dan Pengerusi Persatuan Gerakan Kesedaran Sivil Malaysia, Jenice Lee Ying Ha.

Sementara itu, Sheikh Abd. Kareem mempersoal kelulusan yang diberi kepada pihak pemaju untuk meneruskan projek oleh MPAJ.

"Penduduk berasa bimbang kerana kawasan ini mungkin tidak boleh menampung pembinaan sebesar ini dan bakal menimbulkan masalah lain seperti kelancaran lalu lintas serta bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh.

"Selain itu, terdapat juga aduan oleh penduduk bahawa pihak pemaju telah datang dari rumah ke rumah untuk memeriksa keadaan kediaman mereka, tetapi tiada sebarang dokumen sah ditunjukkan.

"Ini termasuk nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang sepatutnya tertera pada surat yang ditunjukkan pihak terbabit," katanya.

Tambahnya, pihak berkenaan tidak layak membuat pemeriksaan itu jika tidak berdaftar dengan SSM.

"Malah papan tanda yang biasanya digunakan oleh pihak pemaju di tapak projek dibangunkan juga tidak kelihatan dan perkara itu menambahkan keraguan penduduk," katanya.

Dalam pada itu, Jenice Lee turut mempertikaikan tindakan pihak pemaju yang memaklumkan kepada penduduk yang sebelum ini mereka sudah memasuki kediaman di kawasan terbabit untuk kaji selidik peringkat awal.

"Sebanyak 57 buah rumah telah menerima surat daripada pihak berkenaan pada 20 Ogos lalu memperkenalkan diri mereka sebagai pemaju, tetapi kini dimaklumkan pula bahawa mereka adalah juruukur bebas.

"Siapakah mereka yang sebenarnya hingga boleh masuk ke rumah penduduk sesuka hati," ujarnya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...