Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (gambar) berkata, pasukan khas tersebut mestilah daripada kalangan pasukan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lain-lain.

“PPIM mencadangkan supaya pemantauan secara bersepadu dilakukan pasukan khas yang dike­tuai oleh LHDN. Penglibatan agensi tersebut akan menakutkan aktiviti haram yang sering mengelak daripada membayar cukai dan sebagainya.

“Tindakan seperti menyita premis dan mengenakan cukai yang tinggi akan dapat mematikan pergerakan mereka. Penglibatan lembaga percukaian bagi membanteras aktiviti seperti ini telah pun digunapakai di negara maju seperti Amerika Syarikat dan ter­nyata berkesan,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai sindiket perjudian yang tidak gentar dengan serbuan pihak berkuasa dalam usaha membanteras aktiviti tersebut.

Nadzim turut menggesa masyarakat supaya menjadi 'mata dan telinga’ penguat kuasa dengan melaporkan segala aktiviti perjudian haram di kawasan mereka kepada pihak berwajib.

“Penglibatan masyarakat amat diperlukan kerana pihak berkuasa tempatan tidak mampu mena­ngani isu ini secara bersendirian,” katanya.

Sementara itu, Penaung Kuasa Ke-3, Datuk Zaaba Aman berpendapat bahawa kementerian, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak cukup serius dalam usaha membanteras kegiatan tersebut dari akar umbi.

“Pemantau secara berterusan perlu dilakukan pihak berwajib. Sikap sekadar melepaskan batuk di tangga telah menyebabkan sindiket lebih berani melakukan aktiviti tersebut tanpa memikirkan risiko yang bakal diterima.

“Selain itu, setiap agensi terlibat perlu melantik seorang pemberi maklumat yang boleh dipercayai dari kelompok masyarakat tempatan. Segala maklumat yang diberikan akan dapat memudahkan kerja-kerja pihak penguat kuasa untuk melakukan pemantauan,” katanya.